Jumaat, 31 Mac 2017

Malaysia layak - ke pusingan akhir Olimpik Zon Asia



ARKIB : 10/05/2003

PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menganugerahkan kemenangan percuma kepada Malaysia yang melayakkan skuad negara ke pusingan akhir kelayakan Olimpik Zon Asia setelah membatalkan penyertaan Turkmenistan yang melanggar peraturan badan induk itu.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi kenyataannya semalam berkata, FIFA memberi kemenangan kepada Malaysia berdasarkan keputusan bahawa Turkmenistan gagal turun pada hari perlawanan pertama pusingan kedua itu yang dijadualkan 3 Mei lalu di Stadium Shah Alam.

FAM menerima berita gembira itu daripada FIFA lewat malam kelmarin menerusi surat yang ditandatangani oleh Timbalan Setiausaha Agungnya, Jerome Champagne.

Surat berkenaan memaklumkan bahawa FIFA telah membatalkan Turkmenistan dalam pertandingan itu kerana melanggar peraturan.

Kerajaan Turkmenistan tidak membenarkan pasukan bola sepak mereka bertandang ke Malaysia untuk perlawanan berkenaan kerana bimbangkan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang melanda sebahagian besar negara Asia.

Bagaimanapun, FIFA menjelaskan Malaysia tidak berada dalam senarai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai antara negara yang terbabit dengan wabak berkenaan.

Malaysia menerima kemenangan percuma 3-0 untuk perlawanan itu tetapi perlu ke Turkmenistan untuk perlawanan kedua pada 7 Jun sebelum FIFA membuat keputusan itu kelmarin.

``Setelah meneliti peraturan, FIFA menyingkir Turkmenistan daripada terlibat dalam sebarang kejohanan itu.

``FAM pula layak untuk kejohanan pusingan akhir AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) untuk acara bola sepak Sukan Olimpik 2004 di Athens,'' kata kenyataan FIFA itu.

Dalam pada itu jurulatih negara, Allan Harris agak kecewa dengan keputusan itu.

``Kami memang nantikan dua perlawanan dengan Turkmenistan selepas kita beraksi baik di Australia (perlawanan persahabatan).

``Tetapi situasi ini adalah di luar kawalan ppersiapan pusingan akhir itu,'' kata Harris

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cutcJnVL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan