ARKIB : 19/12/2002
PENYERANG negara, Akmal Rizal
dipeluk oleh rakan-rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pembukaan Malaysia
dalam perlawanan Piala Tiger menentang Singapura di Stadium Nasional, Singapura
semalam. Malaysia menang 4-0. - Gambar Aby Baizura Harun.
Daripada BAZLI ABDUL RAHMAN
SINGAPURA - Malaysia mencatat
kemenangan pertama ke atas Singapura di Stadium Nasional dengan keputusan besar
4-0 pada perlawanan pembukaan Kumpulan B bola sepak Piala Tiger, semalam.
Pasukan negara yang tidak pernah
menewaskan musuh tradisinya itu dalam perlawanan di tempat lawan memperoleh dua
gol menerusi Indra Putra Mahyuddin, manakala dua lagi masing-masing sumbangan
Akmal Rizal Rakhli dan Nizaruddin Yusoff.
Malaysia bermain secara menyerang
sebaik wisel perlawanan ditiupkan dan bintang penyerangnya, Akmal Rizal
menyebabkan lebih 40,000 penyokong tuan rumah terdiam apabila membuka jaringan
seawal minit ke-29.
Gol berpunca hasil umpanan yang
diterima dari sebelah kanan, sebelum dia melepaskan tendangan yang menewaskan
penjaga gol lawan, Sharil Jantan.
Indra Putra mengukuhkan kedudukan
negara menerusi gol kedua pada minit ke-48, hasil larian solo dari tengah
padang.
Dia sekali lagi menjadi wira
dengan menambah gol ketiga pada minit ke-65 selepas menggelecek pertahanan
lawan, S. Subramani sebelum menewaskan Sharil buat kali ketiga.
Nizaruddin Yusoff yang masuk
menggantikan Hairuddin Omar melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia dengan
jaringan keempat, tiga minit kemudian.
Dengan kemenangan ini, pasukan
negara kini berkongsi tiga mata dengan penyandang juara, Thailand yang turut
menang besar 5-1 ke atas Laos dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B.
Thailand membuka jaringan seawal
58 saat menerusi Worawoot Srimaka. Kiatisuk Senamuang menambah gol kedua dan
Worawoot menjadikan kedudukan 3-0.
Thailand menambah dua gol di
babak kedua , kedua-duanya menerusi Kiatisuk yang melengkapkan hatrik pada
minit ke-83 dan 90. Gol saguhati Laos diperoleh pada minit ke-66 menerusi
pemain sayap kiri, Visay Phaphouvann.
MALAYSIA: Azmin Azram Abdul Aziz,
Indra Putra Mahyuddin (Chan Wing Hoong), Norhafiz Zamani Nisbah, Rosdi Talib,
Subri Sulong, K. Natha Kumar, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Muhamad Kaironnisam
Sahabudin Hussain, Eddy Helmi Abdul Manan, Tengku Hazman Raja Hassan, Hairuddin
Omar (Nizaruddin Yusof).
SINGAPURA: Sharil Jantan, Egmar
Goncalves, Mohd. Noh Rahman, Mohd. Nazri Nasir, Rudy Khairon Daiman, Ahmad
Latiff Khamaruddin, Zulkarnaen Zainal (Aide Iskandar Sahak), Mohd. Noor Mohd.
Ali, Mohd. Noh Alam Shah Kamaruzaman, S. Subramani, Daniel Bennet.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cPuEFFGY
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan