Selasa, 21 Mac 2017

Barisan baru untuk Sukan Asia dan Piala Tiger

ARKIB : 05/03/2002
SEPULUH pemain termasuk lima pemain senior adalah antara 25 pemain yang dipilih untuk latihan pertama skuad bola sepak kebangsaan untuk Piala Tiger dan Sukan Asia, tahun ini.

Barisan baru itu adalah tambahan kepada 15 pemain pasukan bawah 23 negara yang membawa cabaran pada Sukan SEA XXI lalu.

Jurulatih negara, Allan Harris ketika mengumumkan barisan itu berkata, lima pemain senior ialah pemain Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, Tengku Hazman Raja Hassan (Selangor), Mohd. Hamsani Ahmad (Perak), Mohd. Khalid Jamlus (Perak) dan Rosdi Talib (Terengganu).

Manakala muka baru yang dipanggil ialah pemain Pahang, Shahril Faizal Ahmad Sharifuddin, Rushanizam Mohd. Idrus (Perak), Hasmawi Hassan (Pulau Pinang), Liew Kit Kong (Kedah) dan Mohd. Anis Faron Ahmad Arsidi (Perak TKN).

Bagaimanapun tiga pemain bawah 23, penyerang Mohd. Nizaruddin Yusof, S. Jayaprakash dan penjaga gol, Kamaruzzaman Mohamad tidak berada dalam skuad akibat mengalami kecederaan.

Nizaruddin terpaksa berehat sekurang-kurangnya lapan bulan akibat menjalani pembedahan lutut kanan yang cedera.

``Barisan ini bukanlah barisan yang kekal kerana banyak lagi muka baru akan dipilih dan ditukar sebulan sekali.

``Ia adalah untuk mencari seberapa banyak pemain yang benar-benar sesuai untuk mewakili pasukan kebangsaan,'' kata Harris pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Semua pemain akan mula melapor diri untuk latihan fasa pertama di Wisma FAM, bermula 10 hingga 17 Mac ini.

Menurut Harris, pemain yang tidak dipanggil termasuk Nizaruddin, Jayaprakash dan Kamaruzzaman serta pemain lain masih berpeluang untuk berada dalam skuad pelatih kebangsaan.

``Pertukaran pemain akan dilakukan sehingga Ogos sebelum senarai muktamad dibuat,'' katanya.

Dua cabaran utama bakal dihadapi Malaysia tahun ini ialah Piala Tiger yang berlangsung Ogos ini di Jakarta dan Sukan Asia pada September di Busan, Korea Selatan.

Piala Tiger terbuka kepada semua umur pemain manakala Sukan Asia dihadkan untuk pemain bawah 23 tetapi membuka kuota hanya tiga pemain senior.

BARISAN PEMAIN

Mohd. Nizam Jamil, Mohd. Shukor Adan, Tengku Hazman Raja Hassan (Selangor), Hairuddin Omar, Mohd. Syamsuri Mustaffa, Mohd. Mazuki Yusof, Rosdi Talib, Subri Sulong (Terengganu), Mohd. Juzaili Samion, Shahril Faizal Ahmad Sharifuddin, Mohd. Khaironnisam Sahabuddin (Pahang), Ahmad Shahrul Azhar Sofian, Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Hamsani Ahmad, Mohd. Khalid Jamlus, Rushanizam Mohd. Idrus (Perak), Hasmawi Hassan, Abdul Aziz Ismail (Pulau Pinang), Mohamad Syaiful Sabtu, Norhafiz Zamani Misbah, K. Rajan (Negeri Sembilan), Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Irwan Fadzli Idrus, Liew Kit Kong (Kedah), Mohd. Anis Faron Ahmad Arsidi (Perak TKN)
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4bxS8Va1l© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan