Ahad, 26 Mac 2017

Harris tidak kecewa



ARKIB : 29/12/2002
JURULATIH skuad negara, Allan Harris (memotong kek) diraikan dalam majlis harijadi yang diaturkan secara mengejut oleh pemain-pemain dan para pegawai pasukan di Jakarta. Harris menyambut ulangtahunnya yang ke-60 semalam. - Gambar Saiful Nizam Bahari.

Daripada ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
JAKARTA - Tewas di pertengahan jalan bukan berakhir segala-galanya buat skuad kebangsaan yang semestinya bangkit untuk meneruskan perjuangan memburu tempat ketiga dalam Piala Tiger 2002 di Stadium Gelora Bung Karno, Senayan, di sini, hari ini.

Kekalahan tipis 1-0 kepada Indonesia dalam separuh akhir Piala Tiger 2002 kelmarin sudah tidak boleh ditangisi lagi, sebaliknya Malaysia seharusnya berbangga dengan permainan berkualiti yang dipamerkan.

Apa yang penting, di sebalik gemuruh sorak 60,000 penyokong tuan rumah di stadium berkenaan kelmarin dan dilontar botol air mineral ketika tamat aksi separuh masa pertama, pemain Malaysia kemudiannya menyambung permainan tanpa rasa gentar.

Perlawanan kelmarin jelas dikuasai Malaysia yang mempunyai semangat melawan tanpa menghiraukan sorakan penonton dan aksi keras pemain pasukan lawan.

Hanya beberapa kesempatan yang gagal dimanfaatkan menjadi pemisah di antara Malaysia dengan Indonesia yang menghukum skuad kebangsaan menerusi gol tunggal penyerang sensasinya, Bambang Pamungkas pada minit ke-75.

Kekentalan mental pemain skuad kebangsaan menjadi pengubat kedukaan jurulatih Allan Harris selepas pasukan bimbingannya tewas dalam separuh akhir tersebut.

``Saya meminta kesemua pemain supaya jangan menangis kerana jika ditangisi sebanyak mana pun, keputusan tetap tidak boleh diubah.

``Semua orang kecewa, saya pun terasa dengan kekalahan ini tetapi kita perlu menghadapi perlawanan akan datang,'' katanya dalam sidang akhbar, di sini, semalam.

Menurut Harris, kekalahan tersebut tidak akan melemahkan skuad kebangsaan yang akan menghadapi Vietnam dengan sebaik mungkin bagi mengekalkan kedudukan tempat ketiga sebagaimana dicapai dalam pertandingan Piala Tiger 2000.

Menurut Harris, dia berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan oleh pemain skuad kebangsaan ketika bertemu Indonesia.

``Mereka bermain dengan baik, kami membuat banyak serangan tetapi jelas kesempatan yang terhidang gagal dimanfaatkan dan Indonesia mempunyai peluang yang baik dan berjaya menyumbat gol...itulah keputusannya,'' tambah Harris.

Bagaimanapun, kata Harris, skuad kebangsaan itu mempunyai potensi untuk menjadi sebuah pasukan yang baik di rantau ini dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.

``Pemain yang ada masih muda dan mempunyai permainan yang bagus, masih ada ruang untuk membawa cabaran Malaysia dalam kejohanan-kejohanan akan datang.

``Dalam tempoh dua hingga tiga tahun ini, sudah tentu masih ada lagi pemain berbakat yang boleh diserapkan bagi menambah kekuatan skuad kebangsaan...jadi ini petanda baik untuk kemajuan pasukan,'' tambahnya. - Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1229&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cQCaDEXx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan