ARKIB : 16/09/2001
KESILAPAN penjaga gol,
Kamarulzaman Hassan menepis bola ke gawang sendiri menghadiahkan Thailand
pingat emas bola sepak lelaki Sukan SEA XXI dengan kemenangan 1-0 di Stadium
Shah Alam, semalam.
Jaringan berpunca dari sepakan
lintang Sarawut Treephan ketika permainan berbaki tiga minit.
Kesilapan itu memusnahkan
harapan skuad negara untuk merangkul gelaran juara buat kali pertama dalam masa
12 tahun. Kali terakhir Malaysia menang emas ialah pada 1989 di Stadium
Merdeka.
Ini adalah kemenangan kelima
berturut-turut Thailand sejak 1993 dan ke-10 sejak kali pertama merangkul emas
bersama Myanmar pada Sukan SEAP 1965.
Ia juga melunaskan dendam
Thailand yang tunduk 2-1 kepada anak buah Allan Harris pada Pesta Bola Merdeka,
Jun lepas.
Sebelum itu, Stadium Shah Alam
yang dibanjiri kira-kira 80,000 penonton sunyi seketika apabila semua hadirin
bertafakur selama seminit bagi mengingati mangsa serangan berani mati di Pusat
Dagangan Dunia New York dan Pentagon, Amerika Syarikat Selasa lepas.
Bahagian tengah yang kurang
bertenaga menyaksikan skuad negara agak sukar untuk menyaingi gerakan Thailand
yang nampak lebih matang.
Pada minit ke-27, Thailand
nyaris mendapat gol sulung perlawanan apabila Phichitpong Choeichiu menanduk
tepat kepada penjaga gol, Kamarulzaman Hassan hasil sepakan sudut Anucha
Kitpongsri.
Hujan yang berhenti ketika
rehat menambah kehangatan permainan yang menyaksikan Akmal merembat sipi
sepakan percuma dari luar kawasan penalti pada minit ke-49.
Pertahanan, Irwan Fadli Idrus
nyaris menjaringkan gol pada minit ke-72 tetapi sepakan percumanya berjaya
ditepis keluar oleh Umarin.
Ketika permainan kelihatan akan
bersambung ke masa tambahan, Thailand bagaimanapun menggunakan kesempatan
terakhir dengan membuat asakan dari sebelah kanan.
Sarawut cuba membuat hantaran
lintang untuk rakannya tetapi bola sepakan rendahnya sebaliknya menggolek masuk
ke dalam gawang Malaysia setelah terkena kaki Kamarulzaman akibat tersilap
jangkaan.
Sementara itu, Myanmar
memenangi pingat gangsa setelah menundukkan Indonesia juga 1-0 di Stadium
Petaling Jaya. Gol kemenangan Myanmar diperoleh menerusi Yan Paing pada minit
ke-44.
Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM) mengambil sempena perlawanan akhir semalam dengan memberi sumbangan
sebanyak RM10,000 kepada tabung Koperal Azmar Abu.
Sumbangan itu disampaikan oleh
Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang turut memberi
sumbangan peribadi sebanyak RM1,000, kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk
Hishammuddin Hussein sebelum perlawanan bermula.
Azmar meninggal dunia setelah
terjatuh ketika sedang memeriksa bumbung dewan serbaguna di Jalan Sultan
Salahuddin, Kuala Lumpur, yang dijadikan gelanggang acara lawan pedang, Selasa
lepas.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bkVhT93J
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan