PENGURUS pasukan bola sepak
negara, Datuk Seri Ibrahim Saad menyifatkan skuad Piala Tiger negara kali ini
adalah yang termuda pernah diketuainya sepanjang tiga kali dipilih memikul
tugas tersebut.
Dalam waktu yang sama katanya,
barisan pemain yang berumur antara 19 hingga 26 tahun itu juga merupakan
barisan paling berpotensi besar untuk menyinar pada pertandingan di Singapura
itu nanti dan menjadi pilihan terbaik untuk mengisi slot cabaran tahun depan
seperti Sukan Sea, kelayakan Piala Asia dan Sukan Olimpik.
``Ini adalah keistimewaan pasukan
kebangsaan kali ini. Walaupun agak muda dan kurang pengalaman, pemain negara
memiliki semangat dan komitmen yang tinggi.
``Atas kertas, memang kita mampu
layak ke separuh akhir tetapi difahamkan semua pasukan yang bertanding pada
Piala Tiger kali ini menghantar pasukan senior mereka.
``Ini bermakna, kita adalah
pasukan termuda,'' katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan negara di
Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Buat masa ini katanya, hanya
Rosdi Talib pernah beraksi pada Piala Tiger manakala Hairuddin Omar dan
Nizaruddin Yusof hanya mengisi bangku simpanan.
``Selebihnya adalah muka baru dan
kali pertama beraksi pada kejohanan ini. Ketiadaan Ahmad Shahrul Azhar
membuatkan pasukan ini tambah kurang pemain yang berpengalaman,'' jelasnya.
Mohd. Fadzli Shaari, 19, adalah
pemain termuda manakala penjaga gol Azmin Azram, 26, adalah yang paling tua
dalam skuad kebangsaan kali ini.
Menurut Ibrahim, pemilihan pemain
muda ini adalah perancangan jangka panjang FAM untuk membentuk skuad yang
mantap di masa akan datang.
``Apa yang membanggakan,
pemain-pemain muda ini menunjukkan disiplin yang tinggi dan kesemua mereka
mendaftar awal tanpa ada seorang pun yang lewat atau menimbulkan masalah
setakat ini,'' tegasnya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cPjlSqSu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan