Sabtu, 25 Mac 2017

Bola dituntut kembalikan kepercayaan peminat



ARKIB : 22/09/2002
SKUAD kebangsaan tidak mempunyai alasan melainkan mempamerkan semangat juang yang tinggi sewaktu beraksi dalam Sukan Asia di Busan, Korea Selatan untuk meraih kembali kepercayaan peminat bola sepak tanah air lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.

Pengurus pasukan, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, semangat itu perlu ditunjukkan sejak mula pertandingan lagi iaitu menghadapi Oman dalam Kumpulan A.

``Pemain perlu percaya kepada diri sendiri kerana mereka adalah kelompok 20 pemain terbaik yang dipilih untuk mewakili negara.

``Mereka perlu menghidupkan peluang untuk membaiki kelemahan di Busan,'' kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, semalam.

Kelmarin, sewaktu membentangkan Bajet 2003, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menyentuh prestasi bola sepak negara yang jauh merosot berbanding suatu ketika dahulu.

Dr. Mahathir berkata, pada suatu ketika dahulu, negara mengecapi kegemilangan di arena sukan bola sepak dan cukup terkenal di rantau Asia malah pernah mengalahkan pasukan Jepun dan Korea Selatan yang kini muncul gergasi bola sepak bertaraf dunia.

Apa yang terjadi kepada pemain kita?,'' tanya Perdana Menteri.

Dr. Ibrahim berkata, skuad kebangsaan perlu mencontohi pemain Korea Selatan yang beraksi cemerlang dalam Piala Dunia kerana mempunyai keyakinan tinggi sehingga membawa mereka ke separuh akhir.

Sementara itu, ketua pasukan bawah 23 tahun negara, Hairuddin Omar kembali merebut tempatnya dalam senarai pemain selepas dibelenggu kecederaan beberapa bulan lalu.

Turut disenaraikan ialah pemain veteran, Ahmad Shahrul Azhar, Azmin Azram Aziz dan Khalid Jamlus.

Senarai akhir ke Busan:

Azmin Azram Abdul Aziz, Mohd. Syamsuri Mustafa, Rushanizam Idrus, Norhafiz Zamani Misbah, Rezuan Radzy, Mohd. Nizam Jamil, Mohd. Khaironnisam Sahabuddin, Juzaili Sameon, Subri Sulong, Ahmad Shahrul Azhar, Shukor Adan, Fadzli Shaari, Mohd. Syaiful Sabtu, Irwan Fadzli Idrus, Indraputra Mahyuddin, Hairuddin Omar, Eddy Helmi Abdul Manan, Akmal Rizal Rakhli, Zainizam Marjan, Khalid Jamlus.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cKs5UJzR© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan