Sabtu, 25 Mac 2017

Wartawan sasaran kemarahan Harris



ARKIB : 30/09/2002
PERISTIWA wartawan menjadi sasaran kemarahan keterlaluan skuad bola sepak negara pada Sukan SEA Brunei 1999 berulang di Perkampungan Sukan Asia XIV Busan, semalam.

Allan J. Harris di sebalik usia 54 tahun dan telah masak dalam arena bola sepak antarabangsa, mengeluarkan kata-kata kesat dalam bahasa Inggeris terhadap wartawan Malaysia.

Seperti terlupa profesionalisme kejurulatihan dan gagal mengawal perasaan, jurulatih dari England itu menghamburkan ketidakpuasan hati ketika seorang wartawan akhbar tabloid cuba menemubualnya.

Kemarahan beliau dipercayai ada kaitan dengan laporan sebuah akhbar Malaysia mengenai ketiadaan ketua jurulatih negara itu pada sidang akhbar selepas perlawanan Malaysia- Oman, Jumaat lalu.

Ia hampir sama dengan tindakan benteng negara, Khairul Anuar Baharom yang menunjukkan isyarat lucah terhadap wartawan ekoran perlawanan yang menyaksikan Malaysia dibelasah 0-6 oleh Indonesia di Brunei.

Khairul bagaimanapun menghantar surat meminta maaf secara rasmi selepas peristiwa itu tanpa hadir secara bersemuka dengan wartawan berkenaan.

Harris, bekas penolong jurulatih kelab gergasi Sepanyol, Barcelona, turut menegaskan bahawa dia tidak diberitahu langsung mengenai sidang akhbar itu walaupun berada selama 45 minit di bilik persalinan.

``Anda semua pengecut kerana menggunakan akhbar untuk mengecam saya sedangkan apa yang saya ada untuk membalas? Saya akan jumpa anda semua selepas ini tentang hal ini,'' katanya.

Penolong jurulatih negara, B. Sathianathan turut berada di sisi Harris ketika kejadian itu selepas mengiringi pasukan yang baru pulang daripada menjalani latihan menjelang menentang Maldives hari ini.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0930&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4cL4IdTst
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan