Selasa, 21 Mac 2017

Skuad Bernhardt ikat China

20 Mac 2017 10:38 PM
KUALA LUMPUR 20 Mac – Skuad Bawah 22 (B-22) negara memulakan kempen dalam Kejohanan B-23 Piala Dubai dengan mempamerkan kekuatan mental apabila bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat China 1-1 hari ini.

Skuad Frank Bernhardt menghampiri kekalahan dalam perlawanan pertama Kumpulan B itu tetapi semangat juang mereka untuk terus memburu gol membuahkan hasil pada minit ke-90 apabila penyerang N. Thanabalan berjaya meledak gol penyamaan.

Terdahulu, China memperoleh gol pendahuluan pada minit ke-68 hasil sepakan penalti.

Piala Dubai yang berlangsung di Stadium Police Officers Club disertai oleh lapan pasukan termasuk tuan rumah Emiriah Arab Bersatu (UAE). Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama-sama China, Arab Saudi dan Jordan.

Kejohanan ini dijadikan oleh Bernhardt sebagai medan untuk mempersiapkan anak-anak buahnya bagi menghadapi Sukan SEA yang akan berlangsung Ogos ini di Kuala Lumpur.

Selepas ini, Malaysia akan menentang Arab Saudi pada Khamis ini dan bertemu Jordan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada Ahad. – UTUSAN

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/skuad-bernhardt-ikat-china-1.459602#ixzz4c0h7VBuH© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan