Jumaat, 24 Mac 2017

Bola sepak ke Busan dengan syarat



ARKIB : 14/08/2002
Oleh DALLIA DUNSTAN
SKUAD bola sepak bawah 23 kebangsaan akhirnya mendapat tempat untuk beraksi dalam senarai 25 acara sukan yang disertai oleh Malaysia pada Sukan Asia ke-14 di Busan, Korea Selatan yang dijadual berlangsung penghujung bulan depan.

Pengerusi jawatankuasa pemilihan, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar berkata bagaimanapun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan dikenakan beberapa syarat walaupun mendapat kelulusan untuk menyertai temasya itu.

``Pemain-pemain kebangsaan harus menjalani latihan pusat secepat mungkin sebagai persediaan ke Busan.

``Dan walaupun Piala Malaysia sedang berjalan, persatuan-persatuan bola sepak negeri harus membenarkan pemain yang terpilih mewakili skuad kebangsaan untuk menjalani latihan sepenuh masa,'' katanya selepas mempengerusi mesyuarat pemilihan pada hari terakhir di pejabat MOM, Kuala Lumpur, semalam.

Mesyuarat selama dua hari itu memberi peluang kepada persatuan-persatuan sukan mengenai prospek, keyakinan serta peluang mereka untuk mendapatkan pingat pada temasya itu.

Menurut Tunku Imran, jika FAM serius untuk menghantar sebuah skuad ke Sukan Asia, mereka harus mengetahui sendiri bagaimana mahu menyelesaikan syarat -syarat yang telah ditetapkan oleh jawatankuasa pemilihan.

Acara-acara lain yang mendapat kelulusan jawatankuasa itu ialah angkat berat, badminton, bina badan, ekuestrian, gimnastik, golf, perahu layar, karate do, menembak, skuasy, taekawndo, bola keranjang (wanita), hoki (lelaki), kabbadi, ragbi, renang, terjun, renang berirama, olahraga, sepaktakraw. snuker dan billiard, tinju, boling, memanah, wushu dan berbasikal.

Pemenang tiga pingat emas Sukan Komanwel XVII di Manchester, Amirul Hamizan Ibrahim dipilih sebagai wakil tunggal Malaysia dalam acara itu. Dia akan beraksi bagi kategori 56kg.

Golf turut mendapat tempat dengan menyenaraikan tiga pemain. Mereka ialah Mohd Shaaban Hussin, S. Sivachandran dan Mohd Sahal Saedin manakala pemain keempat akan ditentukan kemudian.

Bagi acara renang, MOM telah meluluskan penyertaan pemenang pingat perak acara 50 meter kuak lentang di Manchester, Alex Lim Keng Liat selain Allen Ong, Elvin Chia, Siow Yi Ting dan Sia Wai Yen.

Sementara ragbi dibenarkan beraksi kerana pasukan negara mempunyai standard yang baik di kalangan negara-negara Asia.

``Ragbi adalah sukan yang wajib pada Sukan Asia pada 2010 dan ini merupakan sebab kenapa kita harus membuat persiapan daripada sekarang untuk mempunyai sebuah pasukan ragbi yang mantap,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0814&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cFk6Ehcb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan