Sabtu, 18 Mac 2017

Malaysia, Thai masuk akhir bola

ARKIB : 14/09/2001
MALAYSIA melayakkan diri ke perlawanan akhir bola sepak lelaki Sukan SEA buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun apabila menumpaskan Myanmar 1-0 di Stadium Shah Alam, semalam - terima kasih kepada jaringan cantik Mohd. Nizaruddin Yusof.

Kehangatan perlawanan mula dirasakan sejak pukul 8 malam apabila kira-kira 75,000 penonton membanjiri stadium - jumlah terbesar setakat ini - termasuk Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang melilit Jalur Gemilang di leher, serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Hishammuddin Hussein menyaksikan perlawanan itu.

Kira-kira 10,000 lagi resah di luar kerana kerana kehabisan tiket. Watak garang skuad negara yang mencari gol awal berhasil menepati sasaran ketika perlawanan baru berusia 12 minit.

Gerakan gol bermula di bahagian tengah menerusi Indra Putra Mahayuddin yang menggunakan kelicikannya merampas bola dari kaki lawan untuk melorongkan kepada Nizaruddin.

Sambil membuat larian, Nizaruddin melepaskan rembatan padu dari jarak kira-kira 20 meter membuatkan penjaga gol, Aung Aung Moo tergamam menyaksikan bola menerjah penjuru kiri gawangnya.

Jaringan itu yang sepatutnya menyemarakkan semangat pemain negara sebaliknya memberi tenaga baru kepada Myanmar.

Pemenang perak Sukan SEA 1993 di Singapura itu melancarkan serangan bertubi-tubi ke kubu negara untuk memaksa Mohd. Nizam Jamil dan rakan-rakan di bahagian pertahanan mengerah tenaga bagi menampan asakan.

Menyedari mereka gagal lolos ke dalam kawasan gol, Myanmar membuat tiga percubaan dari jarak jauh tetapi gagal menepati sasaran.

Pada minit ke-22, pertahanan, Min Thu menyaksikan penjaga gol Malaysia, Kamarulzaman Hassan menangkap kemas sepakannya sebelum dua percubaan dari Aung Kyaw Myint dan Yan Paing masing-masing pada minit ke-28 dan 30 sedikit tinggi di atas palang.

Myanmar terus mengasak sepanjang baki babak pertama tetapi mendapati terlalu sukar untuk penyerang mereka melepasi kubu lawan.

Malaysia kemudian membuat pertukaran dengan memasukkan Juzaili Samion menggantikan pemain tengah, Mohd. Shukor Adan sebaik separuh kedua bermula yang menyaksikan penguasaan sepenuhnya oleh skuad negara.

Pada minit ke-49, Juzaili membuat hantaran lintang sempurna tetapi kuisan bekas rakan seperguruannya di FC Haguenau, Akmal Rizal Rakhli terkeluar sedikit dari pintu gol yang terbuka.

Akmal mendapat dua lagi peluang berturut-turut tetapi nasib terus tidak menyebelahi penyerang yang telah menjaringkan lima gol dalam perlawanan peringkat kumpulan.

Pada minit ke-58, sepakan pemain kelahiran Kedah itu dari dalam kawasan gol terkena kaki penjaga gol, Aung Aung Oo dan enam minit kemudian, tandukannya setelah mendapat umpanan lambung pemain gantian, Mohd. Syaiful Sabtu terkena badan pertahanan Myanmar sebelum didakap kemas oleh Aung Oo.

Pada minit ke-64, pertahanan Myanmar dibolosi lagi tetapi kali ini Aung Oo menampan keluar sepakan deras Juzaili untuk menyelamatkan gawangnya.

Sedikit kelekaan anak buah Allan Harris nyaris menyaksikan Myanmar kembali bersaing. Hanya kecekapan penjaga gol negara, Kamarulzaman Hassan yang pantas menepis tandukan ketua pasukan lawan, Zaw Lynn Tun pada minit ke-84 menyelamatkan keadaan.

Sayap kiri, Indra Putra Mahayuddin nyaris menghukum Myanmar pada minit terakhir apabila mendapat hantaran lintang Akmal tetapi sepakannya ditepis keluar oleh Aung Oo.

Kemenangan itu meletakkan Malaysia ke perlawanan akhir buat kali pertama sejak 1989 di Kuala Lumpur. Skuad negara akan bertemu Thailand yang menewaskan Indonesia dalam satu lagi separuh akhir di Stadium Petaling Jaya.

Thailand menumpaskan Indonesia 2-1 dalam perlawanan yang berlarutan sehingga ke masa tambahan.

Indonesia yang mula menjaringkan gol pada minit ke-3 menerusi Bambang Pamungkas gagal mengekang kehebatan Thailand yang bangkit menyamakan kedudukan melalui jaringan Kitpong-Sri pada minit ke-39.

Thailand mara ke perlawanan akhir setelah Teeratep Winothai melakukan jaringan emas pada minit ke-105.

Indonesia akan bertemu Myanmar di Stadium MPPJ Kelana Jaya bagi penentuan tempat ketiga dan keempat
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0914&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bkK02CZ4

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan