ARKIB : 12/12/2002
PENYERANG negara, Mohd.
Nizaruddin Yusof (kiri) berusaha melepasi pemain Kemboja, Soeur Chanveasna
dalam aksi bola sepak persahabatan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Malaysia menang 5-0. - Gambar SAIFUL NIZAM BAHARI.
SKUAD bola sepak kebangsaan
mendapat suntikan semangat menjelang Kejohanan Piala Tiger di Singapura minggu
depan selepas menang besar 5-0 ke atas Kemboja dalam aksi persahabatan terakhir
di padang Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Jurulatih negara, Allan Harris
jelas lega dengan kemenangan itu kerana barisan anak buahnya semakin
mempamerkan kematangan dalam setiap aksi menjelang kejohanan serantau itu.
``Bagaimanapun, saya mengesan dua
atau tiga perkara yang tidak menggembirakan. Beberapa pemain masih melakukan
kesilapan yang tidak seharusnya dibuat.
``Tetapi secara keseluruhannya,
saya lega kerana pemain bermain dengan baik walaupun baru pulang dari bercuti
(Hari Raya). Ia merupakan satu semangat sebelum memulakan kempen Piala Tiger,''
katanya selepas perlawanan itu.
Gol pertama pasukan negara
dijaringkan oleh penyerang, Hairuddin Omar pada minit keenam sebelum pemain
sayap kiri, Indra Putra Mahayuddin menggandakan jaringan pada minit ke-28.
Gandingan Hairuddin di barisan
depan, Akmal Rizal Rakhli turut menemui sentuhan untuk gol ketiga Malaysia
sebaik babak kedua bermula seminit.
Zainizam Marjan yang dimasukkan
pada pertengahan babak kedua menggantikan Hairuddin, menjaringkan dua gol pada
minit ke-62 dan 87.
Aksi gandingan Akmal dan
Hairuddin di barisan depan jelas menggembirakan Harris.
``Saya harap mereka dapat
mengekalkan prestasi semasa pertemuan penting menentang Singapura nanti,'' kata
Harris.
Pasukan negara yang diberi cuti
rehat selepas aksi persahabatan semalam, akan berlepas ke Singapura Isnin ini.
Dalam kempen Piala Tiger,
Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama juara bertahan, Thailand,
Singapura dan Laos.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cPl4ugq3©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan