Sabtu, 18 Mac 2017

Separuh akhir bola sepak diramal hebat

ARKIB : 13/09/2001
DUA perlawanan separuh akhir yang pasti hebat akan dipersembahkan kepada peminat-peminat bola sepak malam ini.

Malaysia, yang kali pertama layak ke separuh akhir bola sepak lelaki Sukan SEA dalam tempoh 12 tahun akan bertemu Myanmar yang pernah menguasai acara tumpuan temasya dwi-tahunan ini pada 1960-an hingga 1970-an, di Stadium Shah Alam.

Satu lagi perlawanan separuh akhir akan berlangsung di antara Thailand dengan Indonesia, di Stadium Petaling Jaya.

Sokongan padu penyokong tempatan setakat ini telah menjadi senjata sampingan skuad negara selain persembahan bersemangat dan matang anak-anak buah Allan Harris ketika mengharungi saingan peringkat kumpulan B.

Malaysia mara ke separuh akhir dengan rekod bersih. Menundukkan Brunei 5-0, bangkit untuk menang 2-1 ke atas Indonesia sebelum mengecewakan pemenang perak dua tahun lepas, Vietnam 2-0 di Stadium Nasional, kelmarin.

Kali terakhir Malaysia bertemu Myanmar ialah pada Sukan SEA 1993 di Singapura. Malaysia kalah 2-1 dan gagal ke separuh akhir. Bermakna, kemenangan bukan sahaja melayakkan Malaysia ke perlawanan akhir tetapi turut melunaskan dendam yang terbuku selama sembilan tahun.

Bagaimanapun, kemenangan hanya akan diperoleh dengan gaya sukar kerana Myanmar yang kali terakhir beraksi dalam perlawanan akhir pada 1993 mengidam untuk memulihkan semula reputasinya.

Untuk menang bermakna barisan serangan Malaysia perlu kecekapan lebih baik berbanding ketika menewaskan Vietnam. Ini kerana begitu banyak peluang dilepaskan oleh Akmal Rizal Rakhli, Hairuddin Omar dan juga Mohd. Nizaruddin Yusof.

"Pada separuh masa pertama, saya merasa sangat bimbang kerana kita melepaskan begitu banyak peluang,'' kata jurulatih negara, Allan Harris mengulas mengenai banyak peluang menjaringkan gol ketika bertemu Vietnam.

Jurulatih Myanmar, David Booth pula berkata pasukannya pasti akan menerima tekanan hebat kerana Malaysia mempunyai kelebihan bermain di depan penyokong setia.

``Untuk menewaskan pasukan tuan rumah ialah satu tugas berat yang telah pun dirasai oleh pasukan-pasukan yang kalah kepada Malaysia sebelum ini,'' katanya.

Myanmar pernah mara ke akhir sebanyak tujuh kali. Dari 1965 hingga 1973, mereka muncul juara sebanyak lima kali berturut-turut.

Sementara itu, pertemuan di antara Thailand dengan Indonesia adalah penyandang juara dengan pemenang gangsa di Brunei dua tahun lepas.

Thailand, pemenang emas terbanyak bola sepak lelaki Sukan SEA dengan sembilan kali muncul juara adalah pasukan pilihan sejak awal, tetapi Indonesia mempunyai ramai penyokong di kalangan warga pekerjanya di sini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0913&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bkIV2eca

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan