ANTARA bingung dan kecewa - Allan
J. Harris melahirkan perasaannya itu selepas menyaksikan Malaysia tewas 1-2
kepada Singapura dalam perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Darul
Makmur, Kuantan, kelmarin, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Bingung kerana inilah kali
pertama dia mengalami satu perlawanan persahabatan yang diheret ke masa
tambahan dan kecewa kerana anak buahnya yang sudah seri, dikerah untuk
kecundang pula.
Harris berkata, ``Saya tak tahu
pun perlawanan ini perlu berlanjutan ke masa tambahan. Saya dan pemain kecewa.
Bagi saya, kalau sudah seri, cukuplah. Apa perlunya ditambah masa lagi?
``Saya tidak pernah menemui satu
perlawanan persahabatan antarabangsa mempunyai masa tambahan atau jaringan
emas. Ia tak patut berlaku,'' tegas beliau pada sidang akhbar selepas
perlawanan.
Jurulatih skuad negara itu
berkata, dia tidak kisah sekiranya tuah menyebelahi Singapura untuk menang
menerusi jaringan emas Nazri Nasir tetapi hanya tidak mengerti cara perlawanan
itu diakhiri.
Bagaimanapun jelasnya, perlawanan
kelmarin tetap bermakna bagi skuad negara sebagai pengukur awal kemampuan
pemain menjelang misi sebenar - Sukan Asia XIV di Busan, Korea Selatan,
September depan.
``Apa pun, perlawanan ini
meninggalkan satu pengalaman yang berguna kepada kami. Saya mahukan lebih
banyak perlawanan yang mencabar seperti ini untuk memantapkan pasukan negara,''
katanya.
Sementara itu Timbalan Presiden
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memuji
persembahan pemain negara yang hampir menang sehingga tiba tiga minit terakhir
permainan sebenar.
``Sepanjang 90 minit Malaysia
bermain baik tapi mereka hilang tumpuan dalam beberapa minit terakhir,''
ulasnya mengenai perlawanan yang bersempena istiadat perkahwinan diraja adiknya,
Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman itu.
Tengku Abdullah menambah,
Malaysia juga begitu tumpul di bahagian serangan sebaik sahaja penjaring
tunggalnya, Khalid Jamlus dikeluarkan pada babak kedua.
``Kita akui tanpa Khalid dan
Akmal Rizal Rakhli (tercedera), serangan Malaysia agak tumpul. Kita harap
beberapa pemain simpanan lain dapat meningkatkan mutu permainan dan setanding
mereka pada masa hadapan,'' katanya.
Sementara itu jurulatih
Singapura, Jan Poulsen dari Denmark berkata, beliau agak kecewa dengan anak
buahnya terutama pada babak pertama apabila umpanan mereka kerap kali tidak
selicin yang diharapkan.
``Umpanan kami tak menjadi. (Dua
pemain asing) Mirko Grabovac dan Egmar Goncalves mengecewakan saya pada
mulanya.
``Segalanya berubah dalam babak
kedua dan saya gembira mereka tidak jemu-jemu mencuba memburu gol setelah
ketinggalan,'' kata Poulsen.
Jelasnya, aksi kelmarin tetap
penting buat Singapura sekalipun cuma satu perlawanan persahabatan kerana ia
membolehkannya menguji persefahaman pemain dan keberkesanan tugas mereka.
``Saya menagih lebih banyak
perlawanan untuk Singapura di gelanggang sendiri dan lawan. Ia amat penting
sebagai persediaan ke arah Piala Tiger, akhir tahun ini,'' katanya
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0718&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cEdDWAFr
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan