Ahad, 26 Mac 2017

Harris miliki barisan serba boleh

ARKIB : 11/12/2002
BARISAN pemain negara ke Piala Tiger gigih menjalani latihan di bawah kendalian Allan Harris di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. Mereka akan menentang Kemboja dalam perlawanan persahabatan di tempat yang sama hari ini. - Gambar Ghazali Basri.

MUNGKIN barisan pemain skuad kebangsaan ke Piala Tiger kali ini agak muda dan kurang berpengalaman.

Tetapi bagi jurulatih negara, Allan Harris, dia mengakui memiliki ramai pemain yang serba boleh untuk bermain lebih daripada satu posisi.

Inilah antara kelebihan yang melegakannya untuk merencana strategi atau menukar corak permainan pada bila-bila masa.

Katanya, pemain seperti Indra Putra Mahayuddin, Chan Wing Hong dan Hairuddin Omar menjadi aset berharga buatnya kerana mampu bermain di bahagian pertahanan, tengah dan serangan.

``Saya boleh meletakkan mereka di mana-mana posisi jika perlu dan ini memudahkan saya memperkemaskan bahagian yang lemah serta menutup ruang yang bermasalah.

``Di samping itu, peningkatan yang ditunjukkan penyerang, Nizaruddin Yusof sejak kebelakangan ini turut memberi harapan baru kepada barisan kali ini,'' jelasnya.

Mengulas kenyataan jurulatih Singapura dalam internet bahawa skuad negara memiliki barisan pertahanan yang ampuh, Harris berkata, itu merupakan strategi negara jiran itu.

``Singapura berbuat demikian kerana menyedari Malaysia merupakan pencabar utama untuk menyekat mereka melayakkan diri ke separuh akhir,'' ujarnya.

Singapura bakal mendapat khidmat tiga pemain asing, dua daripada England dan satu daripada Brazil selepas mereka mendapat kerakyatan negara itu.

Di samping itu, Singapura dilaporkan menyenaraikan ramai pemain senior untuk menyaingi Malaysia, satu-satunya pasukan yang mampu menyekat mereka ke separuh akhir.

Malaysia diletakkan dalam satu kumpulan dengan juara bertahan dan pasukan pilihan, Thailand bersama tuan rumah, Singapura dan Laos.

Harris berkata, perlawanan pertama menentang Singapura pada 18 Disember ini amat penting buat skuad negara untuk ke separuh akhir.

Manakala satu lagi kumpulan terdiri daripada Indonesia, Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Filipina.

Sementara itu, latihan hari ketiga semalam menyaksikan penjaga gol, Azmin Azram menghidap demam dan Nizam Jamil pula mengalami kecederaan belakang.

Ini memaksa mereka tidak dapat turun berlatih. Masalah itu bagaimanapun tidak membimbangkan Harris.

Malaysia akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Kemboja di Wisma FAM pada pukul 5 petang hari ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cPjD0Ede
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan