PARA penuntut Korea Selatan
memberikan persembahan sewaktu raptai menjelang upacara pembukaan rasmi Sukan
Asia XIV di Busan, semalam. Temasya itu akan dibuka dengan rasminya Ahad ini. -
Gambar AP.
Daripada AINOL AMRIZ ISMAIL
BUSAN - Pertemuan menentang Oman
hari ini di Stadium Masan, dekat sini bakal menjadi pengukur sejauh mana
keupayaan pasukan Malaysia dalam mengharungi cabaran lebih sengit pada saingan
peringkat kumpulan A acara bola sepak di Sukan Asia XIV, di sini.
Seandainya menang dalam
perlawanan itu nanti, Malaysia bakal mendapat semangat baru untuk meneruskan
saingan menentang Maldives pada Isnin ini sebelum berdepan cabaran getir
pasukan tuan rumah, Korea Selatan pada 3 Oktober depan.
Pengurus pasukan, Datuk Seri Dr.
Ibrahim Saad berkata, skuad negara berupaya melakukan yang terbaik, walaupun
ketiadaan Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang mengalami kecederaan pada saat-saat
akhir.
``Ketiadaan Akmal dalam pasukan
memang dirasai dan ini tidak sepatutnya berlaku ketika pasukan negara sedang
berada di tahap terbaik memulakan aksi menentang Oman,'' katanya di sini,
sebaik tiba di perkampungan sukan.
Bagaimanapun katanya, pemain
bahagian serangan, Aasmawi Hassan yang menggantikan Akmal mampu memberikan
persembahan terbaik berdasarkan pengalaman yang ada padanya.
Lagipun kata Dr. Ibrahim,
kombinasi Hairuddin Omar dan Khalid Jamlus juga mempunyai kelebihan tersendiri
dan terpulanglah kepada jurulatih Alan Harris menentukan siapa pemain yang akan
menggalas pasukan negara pada pertemuan dengan Oman nanti.
Asmawi yang ditemui berkata, dia
memang terkejut kerana di panggil pada saat akhir, tetapi ia bukanlah satu
masalah untuknya terus menyumbang bakti kepada pasukan negara.
``Saya akan bermain dengan sebaik
mungkin dan yakin dapat menyesuaikan diri dalam pasukan,'' katanya.
Sementara itu, jurulatih Alan
Haris berkata, dia tidak bimbang mengenai pertemuan dengan Oman, hari ini,
sebaliknya bimbang keadaan pasukan, tanpa Akmal.
``Pemain mempunyai semangat yang
kuat untuk beraksi esok (hari ini), tetapi tanpa Akmal, beberapa perubahan
perlu dilakukan bagi memantapkan semula bahagian serangan,'' katanya.
Kali terakhir Malaysia memenangi
pingat ialah pada tahun 1974 dengan membawa pulang pingat gangsa ketika Iran
menjadi tuan rumah temasya Sukan Asia. Pingat emas dimenangi oleh tuan rumah,
1-0 selepas menewaskan Israel dalam perlawanan akhir.
Sebelum itu pada tahun 1962,
Malaysia juga pernah membawa pulang pingat gangsa dalam acara ini semasa
Indonesia menjadi tuan rumah. Pingat emas ketika itu dimenangi oleh India yang
menewaskan Republik Korea, 2-1.
Apa yang jelas, Malaysia harus
membuktikan keupayaan mereka untuk kembali sebagai sebuah pasukan hebat,
selepas beberapa tahun merasakan kemarau pingat yang tidak menyaksikan sebarang
harapan untuk pulih sejak 1974.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0927&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cL0hZWwX
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan