Jumaat, 24 Mac 2017

Hairuddin kembali berlatih

ARKIB : 29/08/2002
HAIRUDDIN OMAR yang membantu negara memenangi pingat perak bola sepak Sukan SEA tahun lepas kembali ke dalam senarai pelatih skuad kebangsaan bagi menghadapi Sukan Asia di Busan, Korea Selatan bulan depan.

Bekas ketua pasukan bawah 23 negara itu hanya memerlukan empat perlawanan untuk membuktikan dirinya telah pulih daripada `penyakit misteri' sekali gus memikat semula perhatian ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Alan Harris untuk disenaraikan dalam skuad 27 pemain yang menjalani latihan pusat fasa terakhir sebelum ke Busan.

Hairuddin sebelum ini tercicir daripada dua fasa latihan pusat kerana penyakit misterinya itu dan tidak bermain ketika menentang Brazil pada Mei lepas sejak kembali daripada lawatan skuad negara ke Myanmar.

Dia juga tidak dapat membantu Terengganu dalam persaingan liga dan hanya mula beraksi sejak empat perlawanan lepas dalam kempen Piala Malaysia yang sedang berlangsung.

``Saya menyaksikan dia beraksi dalam perlawanan ketiganya baru-baru ini dan dia sudah pulih,'' kata Harris di Petaling Jaya.

``Hairuddin ialah pemain yang telah membuktikan kemampuannya sebelum ini dan dia sentiasa mempunyai tempat dalam pasukan saya jika dia cukup cergas,'' jelas Harris.

Kemunculan semula Hairuddin pasti melegakan sedikit bebanan Harris yang sebelum ini menyaksikan begitu ramai pemain terbaiknya berehat panjang akibat dilanda kecederaan.

Selain Hairuddin yang disenaraikan dalam skuad 27 pemain untuk latihan fasa akhir ini, Harris juga mendapat semula dua pemain pertahanan, Irwan Fadli Idrus dari Kedah dan pemain Selangor, Abd. Aziz Ismail yang sebelum ini cedera di kaki juga sudah pulih sepenuhnya.

Harris hanya kesal kerana dua lagi pemain, Nizaruddin Yusof dan Rudie Ramli - kedua-duanya dari Selangor - masih dibelenggu kecederaan di kaki yang terpaksa dibedah.

Nizaruddin hanya dapat beraksi dalam sulung Selangor pada pertandingan liga sebelum terpaksa berehat panjang.

Latihan pusat terakhir ini termasuk siri perlawanan persahabatan iaitu dengan kelab terkemuka Hong Kong, Happy Valley pada 6 September, Emiriyah Arab Bersatu (8 September), dan dua perlawanan dengan Bahrain (19 dan 22 september).

Di Busan, skuad negara di letakkan dalam kumpulan A bersama-sama Korea Selatan, Oman dan Maldives

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0829&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cGIao4G9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan