ARKIB : 14/03/2003
JURULATIH skuad bawah 21
negara, K. Rajagopal berpuas hati dengan persembahan keseluruhan pasukannya
walaupun tewas 3-0 kepada Brazil pada Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa
FAM-ProEvents di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.
Walaupun jelas barisan negara
gagal menyaingi kegagahan Brazil, MALAYSIA masih mampu menembusi benteng
pertahanan skuad Samba junior itu biarpun gagal menemui jaringan gol.
``Pemain telah menunjukkan satu
persembahan yang baik dan berjaya memasuki kawasan pertahanan Brazil. Kita tahu
kita bermain dengan antara pasukan terbaik di dunia,'' kata Rajagopal selepas
perlawanan itu.
``Perlawanan ini memberi
peluang kepada kami untuk memperbaiki apa sahaja aspek yang perlu,'' katanya
lagi.
Menurutnya, Brazil menguasai
bahagian tengah dan mereka juga bermain satu dua yang baik dengan kemahiran
tinggi ketika mengawal bola.
``Gol pertama mereka pada awal
babak permainan menjadi penyebab utama aksi memihak kepada mereka. Saya juga
kecewa dengan gol ketiga Brazil yang mana ia adalah kesilapan mudah barisan
pertahanan kami.
``Ketika waktu rehat, saya
beritahu kepada pemain supaya bermain semudah mungkin dan tidak meletakkan
tekanan kepada diri sendiri dan kita dapat lihat mereka mendapat rentak
permainan pada babak kedua sehingga mampu mengkucar-kacirkan kubu Brazil.
``Apa pun, saya percaya pasukan
saya telah mendapat pengalaman berguna dan pasti akan berusaha untuk bermain
lebih cemerlang pada perlawanan akan datang,'' katanya
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cj5BcCzs
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan