Ahad, 26 Mac 2017

Malaysia layak ke separuh akhir Piala Tiger - Rekod cemerlang kekal


ARKIB : 21/12/2002
PENYERANG negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli meraikan kejayaan menjaringkan gol penyamaan semasa menentang musuh tradisi, Thailand dalam aksi Kumpulan B bola sepak Piala Tiger di Stadium Nasional Singapura, semalam. Malaysia menang 3-1. - Gambar ABY BAIZURA HARUN.

Daripada BAZLI ABDUL RAHMAN
SINGAPURA - Semangat melawan yang tinggi dan kesediaan mengikut perancangan jurulatih, Allan Harris merupakan kunci kejayaan Malaysia membenam Thailand 3-1 dalam saingan Kumpulan B bola sepak Piala Tiger di Stadium Nasional Singapura, semalam.

``Perancangan kita ialah menyerang kerana saya tidak begitu percaya dan yakin dengan corak bertahan dan pemain mengikut sebagaimana diarahkan... saya sungguh bangga dengan mereka,'' kata Harris.

Bagaimanapun katanya, pada separuh masa pertama, khususnya di awal permainan, pemain negara agak tertekan kerana masih belum dapat membaca gerakan lawan yang pantas.

Jurulatih Thailand, Peter Withe memuji barisan Malaysia yang dianggap bermain dengan baik untuk mengekang kemaraan pasukan bimbingannya.

``Mereka bermain dengan baik sekali menerusi gerakan-gerakan yang tersusun,'' katanya.

Permulaan babak pertama menyaksikan skuad negara Gajah Putih itu menguasai permainan dengan mendahului 1-0 menerusi sepakan percuma dari jarak 25 meter Therdsak Chaiman yang gagal diselamatkan penjaga gol, Azmin Azram Abdul Aziz pada minit ke-23.

Sepakan itu diperoleh selepas Khaironnisam Sahabudin menjatuhkan ketua pasukan Thailand, Kiatisuk Senamuang di luar kawasan penalti Malaysia.

Menyedari ketinggalan, Malaysia mempamerkan semangat juang tinggi untuk bangkit menyerang yang menghasilkan jaringan penyamaan menerusi Akmal Rizal Rakhli pada minit ke-44.

Tendangan percuma Indra Putra Mahayuddin yang terkena penjaga gol Kittisak Rawangpa melantun ke arah Akmal Rizal untuk penyerang tersebut merembat ke dalam jaring.

Thailand kemudiannya cuba mengancam kubu Malaysia tetapi kesilapan barisan pertahanannya memudahkan pasukan negara mengatur gerak, membolehkan Nizaruddin Yusof menolak kepada ketua pasukan Tengku Hazman Raja Hassan yang menyepak masuk jaringan minit ke-66 untuk skuad kebangsaan mendahului 2-1.

Jaringan pendahuluan itu terus merimaskan Thailand untuk terus membuat kesilapan apabila terpaksa beraksi 10 pemain kerana pemain midfiled Sakda Joemdee menerima kad kuning kedua pada minit ke-78.

Peluang terus terhidang buat Malaysia dua minit kemudian memperolehi sepakan penalti selepas pemain Thailand Peeratat Phouruandee menjatuhkan Zainizam Marjan dalam kubu lawan tetapi Indra Putra gagal menyempurnakannya.

Bagaimanapun, Indra Putra menebus kehampaannya apabila menjaringhkan gol ketiga Malaysia empat minit sebelum perlawanan berakhir.

Sementara itu dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, tuan rumah Singapura berhempas pulas sebelum menang 2-1 ke atas pasukan kerdil, Laos.

Noh Alam Shah meletakkan Singapura di depan seawal minit kedua tetapi Laos menyamakan kedudukan pada minit ke-18 menerusi Visay Phaphouvann.

Noor Ali melegakan Singapura menerusi jaringan kemenangan minit ke-51. - Utusan

MALAYSIA: Azmin Azram Aziz, Subri Sulong, Norhafiz Zamani Misbah, Kaironnisam Sahabudin, Rosdi Talib, Eddy Helmi Manan, K. Nanthakumar (Juzaili Samion), Tengku Hazman Raja Hassan, Indra Putra Mahayuddin, Nizaruddin Yusoff (Zainizam Marjan), Akmal Rizal Rakhli (Irwan Fadli Idrus).

THAILAND: Kittisak Rawangpa, Thanongsak Pajakkata, Peeratat Phouruandee, Phaitoon Thiabma, Satid Mukkratok (Dusit Chalermsan), Narongchai Vachiraban, Chukiat Noosalung (Sutee Sukomkit), Therdsak Chaiman, Sakda Joemdee, Manit Noyvach (Woorawoot Srimaka), Kiatisuk Senamuang.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cPyhlNXs
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan