Jumaat, 31 Mac 2017

Malaysia tewas, Brazil berpesta



ARKIB : 04/06/2003

Oleh A. JAILANI ABDULLAH
 
PEMAIN Malaysia, Jamhuri Zainuddin cuba melepasi halangan pemain Uruguay, Martin Hernandez pada aksi Futsal Dunia 5S di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam. - Gambar ASWAD YAHYA.

JUARA dunia tiga kali, Brazil mempersembahkan gaya permainan tipikal mereka untuk memukau kira-kira 3,000 penonton ketika membelasah Afrika Selatan 30-0 pada hari pembukaan kejohanan Futsal KL World 5s di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

Di sebalik persembahan hebat pasukan dari Amerika Selatan itu, Malaysia selaku tuan rumah pula menunjukkan persembahan bersemangat walaupun tunduk 5-3 kepada Uruguay dalam Kumpulan C.

Kemenangan Brazil itu sekali gus mengesahkan tempat naib juara dunia 2002 itu pada suku akhir, yang akan bermula Jumaat ini bersama-sama Iran, Jepun dan Uruguay yang turut mencipta kemenangan sulung masing-masing semalam.

Perlawanan Brazil-Afrika Selatan dalam Kumpulan A itu menyaksikan Brazil seperti membawa sebuah kumpulan tarian apabila mereka hanya memerlukan kurang seminit untuk memperoleh gol pertama menerusi Rodrigo Lima Nicolau yang turut menjadi penjaring terbanyak dengan menambah enam lagi gol ketika Brazil sudah menang seawal babak pertama apabila mendahului 18-0.

Pablo De A. Ribeiro dan Leandra Goncalves masing-masing menjaringkan empat gol, Fabiano Assad (tiga), Dovenir Domingues Neto (tiga), Gabriel da Silva (tiga) dan Sergio Luiz Lucas, Marcel Ribeiro serta Arceni Junior Barboza masing-masing dua gol.

Jurulatih Brazil, Fernando Coelho Ferreti yang tidak menyangka pasukannya akan mencatatkan kemenangan begitu besar.

``Kami menghormati setiap pasukan dan kami hanya mahu mencipta kemenangan,'' kata Ferreti.

Brazil kini mendahului kumpulannya dan akan bertemu juara Asia Tenggara, Thailand hari ini.

Sementara itu dalam Kumpulan C, Malaysia menunjukkan persembahan bertenaga dengan aksi terbang penjaga golnya, Mohamad Faris yang mendapat tepukan gemuruh setelah membuat banyak gerakan menyelamat termasuk menghalang dua sepakan penalti Ñ masing-masing oleh Andres D. Alessandro dan Pablo Lammana.

Tetapi pengalaman Uruguay jelas menjadi pemisah antara mereka.

Uruguay memperoleh gol pertama menerusi Nelson Gil tidak lama selepas sepak mula tetapi Addie Azwan Zainal menyamakan kedudukan 1-1.

Selepas itu, perlawanan bertambah sengit dan Malaysia lebih banyak menyerang tetapi kekurangan pengalaman menyaksikan mereka terperangkap kepada serangan balas pantas Uruguay yang menambah gol kedua menerusi Pablo Lamana.

Usaha keras anak-anak buah jurulatih dari Brazil, Silvio Machado membuahkan hasil apabila rembatan jarak jauh Arasan Joseph melepasi kawalan penjaga gol lawan, Gianni Barros hanya untuk menyaksikan pasukan dari Amerika Selatan itu menambah tiga lagi gol tidak lama kemudian menerusi Nelson Gil dan ketua pasukan, Walter Skurko yang menyumbat dua gol.

Usaha yang tidak mengenal lelah menyaksikan skuad negara memanfaatkan peluang pada minit-minit terakhir menerusi Addie Azwan untuk gol ketiga.

Malaysia berpeluang ke suku akhir tetapi perlu menumpaskan Guatemala terlebih dulu dalam perlawanan keduanya esok.

Juara Asia, Iran pula terbukti masih unggul sebagai pasukan terkuat rantau ini apabila menundukkan Uzbekistan 7-1 dalam perlawanan pembukaan untuk muncul pasukan pertama mara ke suku akhir.

Iran mendahului 6-0 pada babak pertama menerusi jaringan Ali Sanei Arani (minit ke-3, 5), Kazem Mohammadi Tirabadi (ke-12, 16), Hamid Shandizi (ke-14) dan Moitaba Moeeini (ke-15).

Selepas menambah satu lagi gol menerusi Siamak Dadashi pada minit ke-21, Iran memperlahankan rentak untuk memberi ruang buat Uzbekistan menjaringkan gol tunggalnya hasil percubaan Kudratov Furkat pada minit ke-22.

Kemenangan itu membolehkan Iran mendahului Kumpulan D sebagai bekalan semangat apabila menghadapi wakil tunggal Eropah, England hari ini.

Pengurus pasukan Iran, Mohammad Sagdeh yang begitu gembira dengan kemenangan itu menyifatkan faktor kemenangan pasukannya kerana pemain-pemain menurut arahan yang diberikan.

``Rancangan kami ialah untuk menjaringkan banyak gol pada babak pertama, dan kami melakukannya dengan memperoleh enam gol,'' kata Sadegh.

``Selepas itu, kami hanya perlu memegang bola tetapi kami masih berupaya menambah satu gol. Ini ialah satu permulaan yang bagus kerana perlawanan ini akan menentukan sama ada kami berupaya mara ke suku akhir atau tidak.'' Sementara itu, Jepun turut mengutip tiga mata pertamanya selepas menumpaskan satu lagi pasukan Asia, Indonesia 9-1 dalam Kumpulan B.

Gol-gol negara Matahari Terbit itu diperoleh menerusi Fuji Kenta (minit ke-3, 30), Kanama Yuki (ke-6, 18), Sagane Kiyoshi (minit ke-11), Suzumura Takuya (ke-19), Watanabe Junichi (ke-24, 26) dan Maeda Yoshifumi (ke-34). Indonesia hanya mampu menunjuk garang seawal permainan apabila mendahului 1-0 menerusi jaringan Achmad Ramdhani pada minit ke-2.

MALAYSIA: Zaidi Ramli, Jamhuri Zainuddin, Mohammad Faizol, Mohamad Feroz, Zainodin Kasmidim

URUGUAY: Gianni Barros, Andres D' Allessandro, Martin Hernandez, Alvaro Pineiro, Walter Skurko

KEPUTUSAN

Iran 7 Uzbekistan 1

Jepun 9 Indonesia 1

Brazil 30 Afrika Selatan 0

Malaysia 3 Uruguay 5

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cxuoAfWQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan