Sabtu, 18 Mac 2017

Fadzli, Shawal gugur


 

ARKIB : 31/08/2001
Pemain bola sepak Kemboja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam menjelang bermulanya acara bola sepak Sukan SEA XXI Kuala Lumpur esok. - Gambar Bernama.

Oleh A. JAILANI ABDULLAH
FADZLI Shaari yang pernah menimba pengalaman di Jerman dan pemain Selangor, Mohd. Shawal Johadi menjadi pemain terakhir digugurkan dari skuad bola sepak negara untuk Sukan SEA XXI yang bermula 1 September ini.

Jurulatih kebangsaan, Allan Harris berkata mereka digugurkan kerana beliau sudah mempunyai ramai pemain di bahagian midfield di samping memerlukan pemain yang boleh bermain di pelbagai posisi.

Katanya lagi, keputusan itu diambil pada saat-saat akhir kerana bimbang ada pemain yang tercedera sehingga terpaksa memanggil semula pemain yang digugurkan.

Maksimum 20 pemain boleh didaftarkan oleh setiap pasukan untuk bola sepak Sukan SEA.

Dalam perkembangan lain, Akmal Rizal Ahmad Rakhli hanya menjalani latihan ringan semalam kerana cedera di buku lali tetapi Harris tidak bimbang dengan keadaan itu.

``Ia hanya kecederaan ringan dan saya yakin Akmal akan pulih dalam sedikit masa lagi,'' kata Harris selepas sesi latihan di padang FAM, Kelana Jaya.

Perlawanan pertama Malaysia ialah menentang Brunei pada 2 September dan Harris berkata kemenangan adalah permulaan terbaik untuk skuadnya.

Pada Sukan SEA, Malaysia diletakkan dalam kumpulan B bersama-sama Brunei, Indonesia dan Vietnam.

Sementara itu, semua perlawanan bola sepak lelaki dari 1 hingga 9 September terpaksa dilangsungkan di Stadium MPPJ kerana padang Stadium Shah Alam tidak bersedia untuk perlawanan.

Bola sepak wanita pula akan dipindahkan ke Stadium KLFA, Cheras. Manakala padang Stadium Shah Alam mula dibaiki awal Julai lepas tetapi proses tumbesaran rumput terjejas akibat gangguan kekutu rumput (couch grass mite).
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bjub0B97

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan