Sabtu, 18 Mac 2017

Malaysia hampir dimalukan Laos

ARKIB : 28/08/2001
SKUAD negara mempamerkan aksi longgar walaupun menang 4-3 ke atas Laos dalam perlawanan bola sepak persahabatan, menjelang Sukan SEA XXI, semalam, lapor A. JALANI ABDULLAH.

Perlawanan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya, yang merupakan gelanggang latihan skuad negara menyaksikan mereka hampir sahaja dimalukan apabila ketinggalan 3-2 pada minit ke-70 sebelum dua gol dalam 15 minit terakhir menerusi Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Indra Putra Mahayuddin memastikan kemenangan memihak kepada skuad negara.

Permainan pada separuh pertama menyaksikan kedua-dua pasukan gagal menewaskan penjaga gol lawan.

Malaysia lebih kecewa apabila melepaskan enam peluang keemasan sementara Laos hanya sekali sekala membuat serangan balas.

Kedua-dua pasukan membuat rombakan besar-besaran selepas rehat.

Jurulatih negara, Allan Harris turut memasukkan Akmal dan rakannya ketika di Perancis, Juzaili Samion serta Hairuddin Omar.

Juzaili kemudian meletakkan Malaysia di depan menerusi sepakan pada minit ke-52.

Laos membalas menerusi Phengta Phonasamay pada minit ke-58 tetapi ketinggalan semula apabila Akmal menyempurnakan peluang minit ke-62.

Selepas itu, kelalaian barisan pertahanan memberi ruang untuk Laos menjaringkan dua gol dalam masa selang seminit menerusi Valasme Dulahone pada minit ke-69 dan penyerang berusia 17 tahun, Visay Phaphourahine minit 70.

Hantaran cantik Juzaili dari tengah membuka ruang kepada Akmal untuk menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-62 sebelum usaha solo Indra dari kiri berhasil mendapatkan gol kemenangan skuad negara pada minit ke-85.

Mengulas mengenai permainan anak buahnya, jurulatih negara, Allan Harris berkata beliau kecewa kerana mereka gagal bermain dengan baik.

``Saya tidak terkejut dengan permainan Laos tetapi kecewa dengan sikap pemain-pemain kita yang memberi banyak ruang kepada pasukan lawan bergerak,'' katanya.

Beliau turut hampa kerana pada keseluruhannya anak buahnya melepaskan 15 peluang di depan gawang selain melepaskan satu gol mudah kepada lawan.

``Jika saya mahu menyenaraikan pemain untuk skuad Sukan SEA, mungkin hanya dua orang yang menjadi pilihan saya ketika ini,'' katanya dengan nada kecewa.

Penyerang negara, Mohd. Nizaruddin Yusof bagaimanapun percaya kelemahan itu masih boleh diperbetulkan sebelum pertandingan berlangsung.

Nizaruddin baru sahaja pulih dari kecederaan lutut yang memaksanya sehingga berehat panjang.

Dia juga tidak bermain dalam Kejohanan Piala LG yang berlangsung di Bandaraya Ho Chi Minh baru-baru ini.

``Sukar untuk saya mendapatkan semula rentak permainan setelah berehat sebulan. Latihan sahaja tidak mencukupi jika tidak bermain dalam tempoh yang panjang,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bjqoPz7J © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan