Sabtu, 18 Mac 2017

Menentang Laos tentukan senarai 20 pemain negara

ARKIB : 26/08/2001
MALAYSIA akan menggunakan perlawanan persahabatan menentang Laos esok sebagai gelanggang untuk menentukan senarai terakhir 20 pemain yang bakal membawa cabaran negara dalam acara bola sepak lelaki Sukan SEA XXI, September ini, lapor SAADON JAAFAR.

Penolong jurulatih skuad negara, B. Sathianathan bagaimanapun lebih pening untuk menentukan dua daripada 22 pemain yang bakal diketepikan.

``Kita sekarang memiliki 22 pemain dan pada temasya itu nanti kita hanya akan menyenaraikan 20 pemain, dua daripada mereka perlu digugurkan. Soalnya siapa dua pemain berkenaan ?

``Kesemua pemain pula berada dalam tahap kecergasan memuaskan dan sukar membuat pilihan sekarang. Kita akan tentukan dua pemain itu selepas pertemuan menentang Laos, Isnin ini,'' katanya.

Sebelum ini beberapa pemain termasuk penyerang Nizaruddin Yusof, Rudie Ramli, serta Norhafiz Zamani Misbah mengalami kecederaan, tetapi Sathiya berkata, kesemua mereka telah pulih sepenuhnya dan bersedia menyahut cabaran Sukan SEA.

Namun, pengguguran dua pemain itu tidak sama sekali menjejaskan kedudukan dua penjaga gol negara, Shamsuri Mustafa dan Kamaruzaman Hassan untuk disenaraikan.

Sementara itu, Laos akan menggunakan saingan perhabatan dengan Malaysia sebagai gelanggang menimba pengalaman sebelum aksi sebenar Sukan SEA.

Jurulatihnya, Soutsakhone Oudomphet berkata, pasukan itu tidak meletakkan sebarang sasaran pada temasya kali ini selepas persembahan buruk pada sesi kelayakan Piala Dunia baru-baru ini.

Sukan SEA kali ini menyaksikan Laos diundi bersama juara bertahan, Thailand, Kemboja, Myanmar dan Singapura, manakala Malaysia berdepan naib juara, Indonesia, Vietnam dan Brunei.

``Kami hanya mahu melakukan yang terbaik pada temasya Kuala Lumpur kerana pasukan ini merosot teruk pada saingan kelayakan Piala Dunia 2002 selepas dibelasah lebih 10 gol oleh Oman dan Syria.

``Kami dibolosi 30 gol daripada lapan perlawanan kelayakan, jadi anda bolah bayangkan sejauh mana kekuatan kami,'' jelasnya.

Soutsakhone yang juga jurulatih skuad remaja negara itu, mengambil alih tempat jurulatih dari Rusia, Boris yang disingkirkan selepas persembahan hambar skuad itu pada kelayakan Piala Dunia baru-baru ini.

Katanya, sekali pun Laos digeruni ketika menewaskan Malaysia 1-0 pada edisi ke-19 temasya di Jakarta, namun kejayaan itu sukar diulangi.

``Persiapan kami kali ini kurang memuaskan dan hanya dua bulan berlatih. Kami juga tidak beraksi di luar negara untuk perlawanan persahabatan.

``Kami hanya bermain dengan pasukan wilayah dalam negara dengan rekod empat kemenangan dan satu seri kerana di Loas tiada liga bola sepak.

``Memang kami mencipta sejarah mengalahkan Malaysia di Jakarta, tetapi bagi saya kali ini untuk menang agak mustahil'' katanya.

Laos hanya mengekalkan dua pemain dari temasya Brunei 1999 iaitu ketua pasukan, Anan Tebsouvanh dan pemain tengah, Boonwong Vannabounthong bersama gandingan baru yang kebanyakannya skuad bawah 19 tahun.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0826&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bjljMlxG

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan