Isnin, 6 Mac 2017

Rahman tetap bimbang

ARKIB : 08/08/2000
SKUAD bola sepak kebangsaan menang besar 6-0 ke atas Myanmar pada perlawanan persahabatan kelmarin - perlawanan pemanas badan menjelang Pestabola Merdeka 2000 minggu depan - tetapi Abdul Rahman Ibrahim tidak mendabik dada sebaliknya melahirkan perasaan bimbang.

''Keputusan biasanya menyeleweng. Kita mampu menang besar dalam persahabatan tetapi apabila dalam kejohanan sebenar, lain pula jadinya,'' kata Rahman.

Begitupun, Rahman harus mengangkat topi kepada anak buahnya atas persembahan baik walaupun masih menghidu kelemahan dalam pasukannya.

Biarpun pertahanan tidak memboloskan sebarang gol, bahagian penting itu dianggap Rahman masih longlai jika diambil kira kekuatan sebenar pasukan lawan.

''Myanmar baru tiba dan mereka belum cukup cergas dalam perlawanan itu.

''Lagipun, saya mencuba semua pemain dan mungkin ia nampak gagah kerana pemain saling bertukar ganti dan pasukan sentiasa mendapat tenaga baru berbanding Myanmar yang tidak membawa ramai pemain.

''Dan saya sedar perlawanan kedua nanti di Ipoh Rabu ini bakal menyajikan cerita baru,'' kata Rahman ketika ditemui selepas latihan skuad kebangsaan di Bukit Jalil, semalam.

Menurut Rahman, keputusan itu juga tidak harus dijadikan ukuran sebenar kemampuan mereka.

Ia adalah perlawanan persahabatan ketiga Malaysia dengan Myanmar selepas dua pertemuan tahun lalu di negara jiran itu yang mana Malaysia mencatat seri sekali dan menang sekali.

Skuad negara akan turun sekali lagi menentang Myanmar di Stadium Perak, Ipoh, malam esok.

Begitupun, Rahman agak bangga dengan kemampuan barisan serangannya yang diterajui Rusdi Suparman dan Mohd. Nizaruddin Yusof serta Yusri Che Lah.

''Mereka semakin menampakkan kematangan walaupun ada sedikit kelemahan. Saya harap mereka akan terus kekalkan prestasi sehingga kejohanan nanti,'' kata Rahman.

Ketiga-tiga pemain itu masing-masing menjaringkan dua gol dalam perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Bangi.

''Pada keseluruhannya, pasukan ini sudah bersedia menghadapi kejohanan ini,'' tambah Rahman.

Pada Pestabola Merdeka yang berlangsung 12-20 Ogos ini, Malaysia diletakkan dalam kumpulan B bersama New Zealand dan Oman, manakala kumpulan B terdiri Olimpik Cameroon, Malaysia bawah 22 tahun dan Olimpik Ghana.

Oleh: JOHARI SHAWAL

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0808&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4aYfCj0kx © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan