ARKIB : 15/08/2000
JURULATIH skuad bola sepak
kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim menjangkakan tentangan sengit bakal diterima
daripada Oman dalam perlawanan kedua mereka pada Pestabola Merdeka 2000 malam
ini, kerana pasukan itu memiliki pelbagai gaya permainan yang sukar dibaca.
''Bukan mudah untuk mengatasi
Oman. Mereka bermain dengan gaya yang berbeza.
''Walaupun menghadapi masalah
dalam pasukan mereka seperti kecederaan pemain dan seorang pemain yang menerima
kad merah, kita jangka sukar mengatasi mereka,'' kata Rahman.
Dua pemain utama Oman
dikhabarkan mengalami kecederaan ketika menentang skuad bawah 22 tahun Malaysia
kelmarin manakala seorang lagi tonggak tengahnya mengutip kad merah.
Tiga lagi pemain utama mereka
pula dikhabarkan telah diterbangkan pulang ke Oman akibat kecederaan.
Keadaan itu memberi kesempatan
buat pasukan Rahman untuk mengatasi skuad dari negara Arab itu untuk perlawanan
kedua, malam ini.
''Oman sebenarnya adalah pasukan
yang lebih bersedia. Mereka baru pulang dari Jerman dan tentu banyak
pengalaman,'' tambah Rahman.
Oman, yang menduduki ranking
ke-107 dunia dan kini dilatih oleh bekas pemain terbilang Brazil pada Piala
Dunia 1970, Carlos Alberto Torres, mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas
Malaysia B kelmarin untuk mendahului kedudukan dengan tiga mata.
Biarpun terpaksa bermain
sepuluh orang, Oman masih mampu mencatat kemenangan walaupun gol yang diburu
hanya hadir pada minit terakhir permainan.
Mengenai perlawanan dengan New
Zealand kelmarin, Rahman berkata bukan mudah mengatasi pasukan itu yang dilihat
lebih bersedia untuk kejohanan ini.
''New Zealand bermain dengan
pantas dan bergerak lebih pantas daripada kita. Pemain kita tidak benar-benar
bergerak seperti mereka.
''Kita mahu mencatat kemenangan
tetapi dalam masa yang sama, kita juga tidak mahu kalah. Perancangan kita
nampak tidak berhasil tetapi saya berpuas hati dengan keputusan seri ini,''
kata Rahman.
New Zealand, yang menduduki
ranking 96 dunia berbanding Malaysia ke-112, jelas bermain lebih tenang
kelmarin walaupun lebih banyak bertahan dan sesekali melancarkan serangan
balas.
Barisan depan mereka yang
dikemudi pemain yang beraksi dengan Manchester City, Chris Killen lebih
berbahaya ketika membuat serangan berbanding skuad negara yang kerap terhenti
dalam kotak penalti lawan.
Pergerakan penyerang Rusdi
Suparman dan Mohd. Nizaruddin Yusof begitu terbatas apabila dikawal baik
pertahanan New Zealand.
''Ia keputusan yang baik dan
kita berharap dapat diteruskan untuk perlawanan seterusnya (menentang Oman),''
ujar Rahman.
Oleh: JOHARI SHAWAL
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0815&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4aYuikLWH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan