ARKIB : 16/08/2000
PASUKAN Malaysia B mengalami
kekalahan keduanya apabila dibelasah 3-0 oleh New Zealand dalam perlawanan
Pestabola Merdeka di Stadium Merdeka semalam sekali gus menutup peluang untuk
mara ke perlawanan akhir.
Kesungguhan dan permainan
cemerlang pada perlawanan pertama ketika bertemu Oman, Ahad lalu nyata pudar
apabila berdepan New Zealand yang cukup pantas dalam menyusun gerak dan bijak
mengasak lawan.
New Zealand hanya mengambil
masa tiga minit untuk membuktikan kehebatan apabila mendahului 1-0 menerusi
sepakan rendah Chris Killen.
Penyerang yang bermain dengan
kelab England, Manchester City itu juga mencipta hatrik dengan kesemua gol
dihasilkan pada babak pertama.
Gol kedua Killen diperoleh
apabila pemain tinggi lampai itu menanduk masuk sepakan sudut yang diambil oleh
Jeff Campbell pada ke-22.
Sebelum itu, penjaga gol
Malaysia, Jamsari Sabian terpaksa bekerja keras menolak bola keluar sewaktu
menyelamatkan pintu golnya daripada ditembusi sepakan percuma ketua pasukan
Kiwi, Chris Zoricich dari hujung kotak penalti.
Pada minit ke-44, New Zealand mendapat
gol ketiga setelah Jamsari gagal memintas sepakan lintang Gerard Babis untuk
membuka ruang besar kepada Killen menanduk masuk ke dalam gol yang terbuka
luas.
New Zeland yang mencatat
keputusan seri 0-0 pada perlawanan pertamanya dengan Malaysia A, Ahad lalu
kemudian memperlahankan asakan pada babak kedua dan ini cuba digunakan oleh
skuad bawah-22 tahun negara untuk mara ke kubu lawan.
Bagaimanapun, setiap gerakan
anak buah Allan Harris mudah dipatahkan oleh pemain-pemain New Zealand yang
menggunakan kelebihan fizikal mereka.
Kecewa dengan gerakan yang
nyata terhalang, pemain-pemain muda negara bertindak agresif sehingga
menyebabkan empat pemain dilayangkan kad kuning.
Ketua pasukan, Mohd. Syukor
Adam menambah parah kedudukan tuan rumah apabila dia dilayangkan kad merah
kerana menyinggung muka Scott Smith pada minit ke-58.
Sebelum itu, SYukor sudahpun
menerima kad kuning pada babak pertama.
Keadaan agak tegang seketika
tetapi pengadil dari Jepun, Masayoshi Okada berjaya mengawal pemain-pemain.
Sungguhpun hanya beraksi 10
orang, namun Malaysia yang membuat tiga pertukaran pemain masih mampu bertahan
untuk menghalang New Zealand dari menambah gol.
Sementara itu, Haris berpuas
hati dengan persembahan anak buahnya yang menunjukkan semangat juang tinggi
pada babak kedua.
''Walaupun terpaksa beraksi
dengan 10 pemain dalam separuh masa kedua, kami berjaya menghalang lawan
daripada terus menjaringkan gol,'' katanya.
''Saya kurang gembira dengan
keputusan ini tetapi tetap berpuas hati dengan persembahan keseluruhan pemain.
Ketinggalan 3-0 pada babak pertama dan beraksi dengan 10 pemain adalah sesuatu
yang sukar,'' katanya lagi.
New Zealand: Ross Nitholson,
Chris Zoricich (Gareth Rowe), Sean Douglas, Adrian Sutton, Graham Pearce, Chris
Killen (Brad Ley-Scott), Paul Urlovic, Ryan Nelson, Jeff Campbell, Gerard
Babis, Scott Smith (Jeremy Brown).
MALAYSIA B: Jamsari Sabian,
Faziallah Mamat (Subri Sulong), S. Jayaprakash, M. Karunakaran (Nazrul Erwan
Makmur), Mohd. Nizam Jamil, Syukor Adam, Mohd. Syawal Johadi, Hairuddin Omar,
Nor Suhaimi Bahauddin, Liew Kit Kong, Irwan Fadzli Idrus.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0816&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4aYvZDJWd
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan