06 Mac 2017 5:12 PM
KUALA LUMPUR 6 Mac – Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menerima arahan daripada kerajaan agar tidak
menghantar skuad Harimau Malaysia ke Pyongyang untuk menentang Korea Utara
dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 pada hujung bulan ini.
HAMIDIN MOHD. AMIN
Setiausaha Agung FAM, Datuk
Hamidin Mohd. Amin berkata, arahan berkenaan telah dimaklumkan kepadanya oleh
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menerusi telefon pada pagi tadi dan
disusuli surat daripada Kementerian Belia dan Sukan yang ditandatangani Ketua
Setiausahanya, Datuk Lokman Hakim Ali tengah hari ini.
“Surat itu menyatakan bahawa
Kerajaan Malaysia telah bersetuju supaya skuad Harimau Malaysia tidak mengambil
bahagian untuk perlawanan di Pyongyang itu atas dasar dan pertimbangan
faktor-faktor keselamatan.
“Keputusan Kerajaan Malaysia itu dibuat selepas perkara
tersebut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan baru-baru
ini,” kata Hamidin dalam kenyataan akhbar.
Lokasi perlawanan Malaysia
dengan Korea Utara mula menjadi isu apabila hubungan diplomatik kedua-dua
negara menjadi tegang berikutan pembunuhan Kim Jong-nam yang merupakan abang
pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
2 pada 13 Februari lalu.
Skuad Harimau Malaysia
bimbingan Datuk Ong Kim Swee dijadualkan bertemu Korea Utara di Pyongyang dalam
pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019 pada 28 Mac ini. – UTUSAN ONLINE
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kerajaan-arahkan-harimau-malaysia-jangan-ke-pyongyang-1.452797#ixzz4aYJoShP2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan