Selasa, 14 Mac 2017

Usaha terakhir FAM -- Jika rayuan penggantungan Nizaruddin ditolak KLFA


 

ARKIB : 30/12/2000
AKSI Nizaruddin Yusof (kiri) pada pertemuan Piala Tiger 2000 di antara Malaysia dan Vietnam di Songkhla 5 November lalu.

PENYERANG kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof menyerahkan nasibnya kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) jika rayuannya terhadap hukuman penggantungan yang dikenakan oleh bekas majikannya, Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) ditolak.

Menurut penyerang berusia 22 tahun itu, dia akan membuat rayuan kepada FAM jika KLFA tetap dengan keputusan menggantungnya selama empat bulan bermula minggu lalu.

"Tetapi saya percaya KLFA akan mempertimbangkan rayuan saya dan mengubah keputusan mereka dengan meringankan hukuman. Mereka tentu tidak mahu memusnahkan kerjaya saya.

"Saya akui hukuman yang dikenakan amat berat bagi saya. Saya juga akui telah membuat kesilapan dan saya minta pertimbangan mereka untuk meringankan hukuman.

"Jika rayuan saya ditolak, usaha terakhir saya adalah merujuk kepada FAM,'' katanya ketika dihubungi di Melaka, semalam.

Nizaruddin digantung empat bulan oleh KLFA minggu lalu kerana pemain itu didapati ponteng latihan selama 10 hari.

KLFA berkata, Nizaruddin masih di bawah kontrak KLFA sehingga 31 Disember ini dan dia perlu hadir setiap latihan yang ditetapkan dalam tempoh itu.

Bagaimanapun, Nizaruddin tidak hadir dengan alasan dia telah pun mengikat kontrak dengan juara Perdana Satu, Selangor untuk kempen baru Liga Malaysia musim depan.

Penggantungan Nizaruddin menjejaskan peluangnya untuk beraksi dalam perlawanan awal Piala FA dan Liga Perdana yang dijadual awal April ini.

Selain Nizaruddin, bekas pemain Olimpik, Mohd. Shawal Johadi turut digantung empat bulan oleh KLFA. Shawal mengikut Nizaruddin berhijrah ke Selangor.

Menurut Nizaruddin, dia belum menyerahkan surat rayuan kepada KLFA tetapi akan berbuat demikian dalam minggu ini.

"Saya kini sedang berhari raya di kampung di Melaka tetapi akan pulang ke Kuala Lumpur esok.

"Mungkin saya akan serahkan surat rayuan kepada KLFA esok bersama-sama surat Shawal yang berada bersama saya,'' katanya.

Nizaruddin berkata, peluangnya untuk beraksi untuk pasukan kebangsaan yang bakal mengharungi kelayakan Piala Dunia 2002 Mac ini, mungkin tidak terjejas.

"Tetapi ia terpulang kepada FAM dan KLFA. Saya hanya akan membuat rayuan kepada kedua-duanya,'' ujarnya.

November lalu, Nizaruddin membantu Malaysia muncul pemenang tempat ketiga pada Kejohanan Piala Tiger 2000 di Thailand.

Piala Tiger adalah aksi ketiga pemain itu bersama pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa selepas kelayakan Piala Asia 2000 dan Pesta bola Merdeka 2000
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1230&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4bIOB7w9P

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan