Ahad, 12 Mac 2017

Bola sepak masih mencari rentak

ARKIB : 17/12/2000
Malaysia terus gagal menempatkan diri setanding dengan pasukan-pasukan serantau seperti Thailand mahupun Indonesia dan Singapura.

Apa lagi di peringkat Asia, kedudukan pasukan negara begitu jauh ketinggalan kepada Jepun, Korea Selatan mahu pun Arab Saudi yang satu ketika dulu setaraf dan menjadi seteru utama negara di padang.

Segala itu sudah berlalu lama. Malaysia kini dianggap setaraf pula dengan Laos, Kemboja mahupun Filipina, pasukan ratahan dan belasahan.

Di mana silapnya. Adakah Liga Malaysia yang begitu dibanggakan di negara ini tidak menepati kriteria untuk membentuk pasukan kebangsaan yang disegani.

Bekas jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim memiliki ungkapan popular yang mungkin ada kebenarannya.

"Pemain-pemain kita adalah produk daripada Liga Malaysia yang bermutu rendah. Kita tidak akan ke mana selagi mentaliti dalam Liga Malaysia masih melekat di fikiran pemain.''

Piala Malaysia, pertandingan paling berprestij negara begitu menjadi keagungan. Setiap kali tamat Piala Malaysia, riuh rendah atau cakap-cakap tentang 'kehebatannya' sukar menemui noktah.

Biarpun tahu bagaimana rendahnya mutu persembahan pasukan-pasukan yang bertanding, ia tetap mendapat perhatian besar peminat seluruh negara.

Jelas ia tidak menjadi kriteria utama asalkan Piala Malaysia jatuh ke tangan pasukan-pasukan yang mengimpikannya.

Hasilnya, apa yang ada dalam Liga Malaysia, itulah yang menjadi sandaran untuk membentuk pasukan kebangsaan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tentu sedar akan masalah itu yang jelas berkait rapat dengan pembentukan skuad negara.

Dan impaknya sudah dilihat bersama. Malaysia terus gagal memberikan harapan pada kejohanan yang disertai sepanjang tahun 2000 ini.

Dalam kelayakan Piala Asia pada April, Malaysia menamatkan pusingan pertama kumpulan 9 di Kuala Lumpur dengan menduduki tempat teratas.

Tetapi sebaik melangkah ke Bangkok untuk pusingan kedua, itulah kedudukan sebenar pasukan negara.

Malaysia bukan lawan setanding dengan Thailand dan Korea Utara. Malah Taiwan juga telah mencatatkan rekod bersih Malaysia dengan pasukan itu.

Pestabola Merdeka 2000 di Kuala Lumpur bagaimanapun membuka sedikit harapan. Pasukan Rahman muncul naib juara di belakang New Zealand pada kejohanan yang hanya disertai empat pasukan, termasuk Oman dan pasukan bawah 23 Malaysia pimpinan Allan Harris.

Dan tempat ketiga pada Piala Tiger yang berlangsung di Thailand bulan lalu adalah usaha terakhir pasukan kebangsaan untuk memberitahu tentang kebangkitan bola sepak negara.

Biarpun ramai menganggap ia bukanlah yang terbaik dalam kejohanan serantau itu - yang mana pasukan negara muncul naib juara pada kejohanan edisi sulung 1996 di Singapura - ia adalah satu kejayaan berbentuk suntikan paling cemerlang.

Sesudah empat tahun tidak langsung menampakkan impak terbaik sejak pasukan bimbingan Wan Jamak Wan Hassan muncul naib juara Piala Tiger 1996, kedudukan ketiga dikira satu pencapaian membanggakan.

Rahman sebenarnya menerima lebih banyak kritikan berbanding dorongan atau galakan.

Kedudukannya sering kali diperdebatkan sebaik memegang jawatan jurulatih negara daripada Wan Jamak pada awal 1999.

Kontrak dua tahun Rahman dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dianggap terlalu panjang bagi sesetengah peminat yang mahu melihat kebangkitan pasukan negara dengan lebih cepat.

Lebih berani ada yang berkata, di bawah Rahman, pasukan negara tidak akan mampu bangkit.

Lebih elok Malaysia terus menggunakan tenaga asing kerana percaya bola sepak negara hanya boleh maju jika menggunakan pengetahuan teknik dan taktik jurulatih asing.

Mungkin itu yang mendorong FAM kembali mendapatkan khidmat jurulatih asing bagi menggantikan Rahman yang dianggap gagal menepati misi besar mereka.

Bagaimanapun, pucuk pimpinan FAM berkeras mahukan pasukan negara terus dilatih jurulatih tempatan. Namun, Harris pula yang mendapat perhatian pegawai-pegawai bawahannya.

Jelas, Malaysia sudah ketandusan jurulatih tempatan yang lebih diyakini, lebih berwibawa atau lebih berkaliber daripada Rahman. Rahman adalah jurulatih tempatan terbaik daripada satu kumpulan yang kurang baik di Malaysia.

Akhirnya FAM terpaksa melantik Harris, jurulatih dari England, yang sedang membimbing pasukan bawah 23 dan 19 tahun negara, untuk membimbing pasukan kebangsaan.

Dan Harris membimbing tiga pasukan kebangsaan sekali gus - sesuatu yang amat luar biasa.

Tetapi langkah FAM itu jika dipandang dari sudut positif, mungkin juga munasabah. Jurulatih dari Jerman, Karl Heinz Weigang menerajui pasukan negara pada 1980-82.

Pencapaian terbaiknya membawa Malaysia layak ke Sukan Olimpik Moscow pada 1980.

Dan mungkin kedudukan yang dicapai oleh Weigang itu mendorong FAM terus menanam kepercayaan bahawa hanya jurulatih asing mampu membawa Malaysia ke peringkat itu sehingga membawa kepada pelantikan Frank Lord, George Knobel, Josef Venglos, Richard Bate, Trevor Hartley, Ken Worden dan Claude Le Roy.

Namun, kecuali Hartley yang memberikan pingat emas kepada Malaysia pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur, apakah yang dihadiahkan oleh jurulatih lain.

Harris bakal membawa pasukan negara mengharungi kempen kelayakan untuk pesta bola sepak terbesar dan terpenting di dunia, Piala Dunia 2002.

Ia lebih besar daripada Sukan SEA, lebih penting daripada Piala Tiger atau lebih berprestij daripada Piala Dunhill atau Pestabola Merdeka.

Tetapi Harris, sebaik sahaja dilantik menggantikan Rahman, mengganggap kelayakan yang akan diharungi Mac depan sebagai satu 'latihan terbaik untuk pasukan negara menghadapi kejohanan-kejohanan lain akan datang''.

Sama ada sedar atau tidak, kenyataan Harris bagaikan membayangkan beliau membelakangkan Piala Dunia, temasya bola sepak terunggul di muka bumi ini.

Atau mungkin Harris ada pandangan lain di sebalik kenyataannya itu.

Apa pun, bola sepak Malaysia masih teraba-raba dalam mencari semula rentak dan irama lampau yang amat lama ditinggalkan.

Malaysia sering kali ketinggalan di peringkat Asia Tenggara atau Asia apa lagi di peringkat dunia. Tetapi siapa tahu sentuhan Harris mampu mengubah senario lama itu.

Sama-samalah kita tunggu.


SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4b7V2cr7b © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan