Ahad, 12 Mac 2017

Azman antara yang gugur - Empat pendatang baru dapat kepercayaan

ARKIB : 15/12/2000
Sebaliknya, empat muka baru mendapat kepercayaan jurulatih baru, Allan Harris, manakala pemain lain daripada skuad Piala Tiger dikekalkan.

Tiga tonggak utama Negeri Sembilan, Chow Chee Weng, Shukor Adan dan Zamani Misbah serta Irwan Fadli Idrus dari Kedah menyarung jersi kebangsaan buat kali pertama.

Pemain berbakat Sarawak, Gilbert Cassedy Gawing dan bekas pemin skuad Olimpik, S. Jayaprakash, Khaled Jamlus dan V. Saravanan - kesemuanya dari Perak dipanggil semula.

Turut kembali mendapat kepercayaan adalah pemain Johor, Bathiar Othman, yang baru mengikat kontrak dengan juara Liga Perdana Satu, Selangor.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam membuktikan keseriusan untuk memberi pendedahan pemain muda apabila membariskan beberapa pemain bawah 23 tahun.

"Keputusan perlawanan tidak begitu penting, sebaliknya keutamaan adalah pendedahan kepada pemain muda,'' kata Harris selepas mengumumkan skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

"Saya sudah tegaskan kelayakan Piala Dunia bukan medan mengembalikan martabat pasukan negara, tetapi adalah pendedahan untuk peringkat selepas itu,'' katanya lagi.

Pemain akan mendaftar diri pada 7 Januari, sebelum dijadual menghadapi perlawanan persahabatan dalam siri jelajah yang belum ditetapkan tarikh dan destinasinya.

"Kita perlu mengadakan perlawanan ujian sebelum pusingan kelayakan bermula bagi mendedahkan pemain dengan keadaan cuaca sama seperti Hong Kong dan Qatar,'' Harris, yang baru mengambil alih tugas Abdul Rahman Ibrahim.

Sementara itu, Harris tidak menolak kemungkinan memanggil semula dua pemain negara yang kini beraksi di Perancis, Akmal Rizal Rakhli dan Juzaili Samion.

Malaysia diletakkan dalam kumpulan tiga bersama Qatar, Hong Kong dan Palestin pada pusingan kelayakan Piala Dunia.

Pusingan pertama akan diadakan di Hong Kong pada 3-11 Mac, sementara pusingan kedua dilangsungkan di Doha, Qatar pada 20-25.

Hanya juara kelayakan akan beraksi ke peringkat seterusnya, sebelum melayakkan diri ke Piala Dunia 2002 di Jepun dan Korea Selatan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b7RCU2Gt © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan