Ahad, 12 Mac 2017

Harris ambil alih tempat Rahman


 

ARKIB : 06/12/2000
TENGKU Abdullah (kanan sekali) mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal FAM yang antara lain membincangkan pengganti jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim, di Kuala Lumpur semalam. Abdul Rahman turut menghadiri mesyuarat itu bersama-sama penggantinya, Allan Harris. - Gambar ZULKARNAIN SAIDIN

ABDUL Rahman Ibrahim semalam sah meninggalkan skuad bola sepak kebangsaan dan pemain-pemain muda yang dibimbingnya sejak dua tahun lepas untuk bersama juara Perdana Satu, Selangor - berita yang bukan lagi rahsia kepada para peminat.

Dan, tempat beliau sebagai jurulatih kebangsaan diserahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada Allan Harris, yang juga pembimbing skuad bawah 23 tahun dan 19 tahun, untuk tugas menyiapkan pasukan senior menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia dan Pestabola Merdeka tahun depan.

Berita mengenai jurulatih dari Terengganu itu menyertai Selangor sudah diketahui umum menjelang kejohanan Piala Tiger di Thailand bulan lepas. Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku Timbalan Presiden FAM yang akan menjadi bekas majikannya pada 31 Disember ini, sekadar mengesahkan Abdul Rahman tidak berhasrat untuk menyambung khidmatnya dengan skuad kebangsaan, semalam.

''Kita masih memerlukan khidmat Abdul Rahman untuk jangka pendek dan jangka panjang terutamanya menjelang kelayakan Piala Dunia dan Pestabola Merdeka tahun depan, tetapi beliau menyatakan hasratnya untuk menyambung kariernya di peringkat domestik dan FAM menghormati keputusannya,'' kata Tengku Abdullah selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di Kuala Lumpur semalam.

''Tugasnya akan digantikan oleh Allan Harris yang sebelum ini melatih pasukan bawah 19 dan 23 tahun untuk tugasan kelayakan Piala Dunia dan Pestabola Merdeka.''

''FAM membuat tawaran (kontrak sambungan) kepada Abdul Rahman termasuk dalam mesyuarat sebentar tadi, tetapi beliau telah membuat keputusannya, dan kita menghormatinya.''

Tengku Abdullah juga menjelaskan, FAM berpuas hati dengan laporan prestasi skuad kebangsaan sepanjang dibimbing oleh Abdul Rahman yang kejayaan terbaiknya ialah menduduki tempat ketiga pada Piala Tiger.

Sementara itu Abdul Rahman yang turut menghadiri mesyuarat itu mengucapkan terima kasih kepada FAM kerana memberikannya peluang untuk menjadi jurulatih skuad kebangsaan.

''Saya terhutang budi kepada FAM kerana membuka peluang kepada saya untuk menimba pengalaman selain mencurahkan khidmat saya kepada skuad negara,'' katanya yang mengikat kontrak dua tahun dengan Selangor.

Ditanya mengapa beliau enggan menyambung khidmat dengan pasukan kebangsaan, Abdul Rahman berkata: ''Saya mahu menggunakan pengalaman dengan skuad kebangsaan untuk mendidik pemain-pemain dalam pasukan negeri.

''Secara tidak langsung usaha saya ini akan melahirkan pemain-pemain berkaliber untuk dipilih oleh pasukan kebangsaan.

''Inilah yang berlaku di luar negara. Pasukan kelab dan pasukan kebangsaan Jepun contohnya memiliki tempo permainan yang sama dan saya akan cuba melakukan perkara yang serupa di Selangor.''

Oleh: A. JAILANI ABDULLAH



Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b7KxSUpE

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan