Ahad, 12 Mac 2017

18 pemain dikekalkan -- Sehingga pusingan kelayakan Piala Dunia 2002

ARKIB : 29/11/2000
SEMUA 18 pemain yang beraksi pada Kejohanan Bola Sepak Piala Tiger 2000 di Thailand bulan ini, kekal sebagai pemain kebangsaan sehingga pusingan kelayakan Piala Dunia 2002, Mac depan.

Bagaimanapun, status sebenar mereka hanya akan diketahui selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meneliti laporan prestasi pasukan yang dibuat jurulatih negara, Abdul Rahman Ibrahim.

''Kita akan tunggu laporan jurulatih (Abdul Rahman). Dari situ kita akan tahu siapa yang digugur atau dikekalkan dalam pasukan. Buat masa ini mereka kekal sebagai pemain kebangsaan sehingga kelayakan Piala Dunia ini.

''Kita akan ikut nasihat atau cadangan jurulatih itu sama ada perlu atau tidak seseorang pemain itu digugurkan,'' kata Penolong Setiausaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Yap Nyim Keong, semalam.

FAM akan bermesyuarat Selasa depan untuk menilai dan membuat post-mortem terhadap pasukan kebangsaan sekembali dari Piala Tiger 2000 di Bangkok. Selain itu, mesyuarat itu juga akan memutuskan kedudukan Abdul Rahman sebagai jurulatih kebangsaan.

Kontrak dua tahun jurulatih dari Terengganu itu dengan FAM berakhir 31 Disember ini.

Mesyuarat itu dijangka dipengerusikan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Malaysia menepati sasaran layak ke separuh akhir Piala Tiger 2000 malah lebih cemerlang apabila menumpaskan pasukan pilihan, Vietnam 3-0 pada penentuan tempat ketiga untuk meraih pingat gangsa.

Begitu pun, satu sumber FAM berkata, Rahman kemungkinan akan terus diberi kepercayaan melatih pasukan kebangsaan memandangkan masa yang begitu singkat untuk membuat persiapan baru jika jurulatih baru diambil.

''Kelayakan Piala Dunia akan berlangsung Mac ini. Jurulatih baru pasti tiada kesempatan untuk mengadunkan corak latihan mengikut caranya.

''Pemain baru pula pasti sukar dicari kerana Liga Malaysia (sebagai medan utama pemilihan pemain) juga akan bermula pada bulan yang sama.

''Jadi pemain yang ada dalam pasukan kebangsaan sekarang terutama yang bermain dalam Piala Tiger pasti akan dikekalkan. Mungkin hanya seorang atau dua pemain yang akan diganti. Mereka yang digugurkan sebelum ini akan dipanggil lagi untuk latihan.

''Nampaknya, FAM tiada pilihan selain mengekalkan Rahman sebagai jurulatih kebangsaan untuk sekurang-kurangnya setahun lagi,'' katanya.

Begitu pun, dalam masa yang sama, Rahman dikatakan menerima tawaran pasukan juara Perdana Satu, Selangor dengan kontrak dua tahun.

Pada kelayakan Piala Dunia Mac depan, Malaysia diletakkan sekumpulan dengan Qatar, Hong Kong dan Palestin.

Perlawanan diadakan dua pusingan dengan pusingan pertama di Hong Kong pada 3 hingga 11 Mac dan pusingan kedua di Doha, Qatar pada 20 hingga 25 Mac.

Hanya juara kelayakan ini layak ke peringkat pusingan seterusnya sebelum melangkah ke pusingan akhir Piala Dunia 2002 yang berlangsung di Jepun dan Korea Selatan.

Menurut Yap, program latihan pasukan kebangsaan akan dirangka selepas mesyuarat berkenaan.

''Kita masih ada masa lagi. Program latihan untuk mereka akan dibuat sebaik prestasi mereka di Piala Tiger dinilai. Kemungkinan latihan akan bermula pada pertengahan bulan Ramadan ini,'' katanya.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b7AqjAtQ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan