Ahad, 12 Mac 2017

Disember penentuannasib Rahman

ARKIB : 21/11/2000
KEDUDUKAN Abdul Rahman Ibrahim sama ada terus melatih skuad bola sepak kebangsaan akan diketahui selewat-lewatnya awal bulan depan.

Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Yap Nyim Keong berkata, badan induk bola sepak negara itu sedang mencari tarikh sesuai untuk mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkara itu.

''Kedudukan jurulatih itu akan kami bincangkan mungkin dalam bulan puasa ini. Jawatankuasa Teknikal sedang mencari tarikh sesuai untuk itu selain membuat post-mortem terhadap pasukan kebangsaan,'' kata Yap ketika dihubungi, semalam.

Kontrak Rahman, yang mula mengambil alih jawatan jurulatih kebangsaan pada awal 1998 daripada Wan Jamak Wan Hassan, dengan FAM tamat 31 Disember ini.

Piala Tiger 2000 di Thailand yang baru berakhir minggu lalu, merupakan tugasan terakhir Rahman.

Yap berkata, FAM kini sedang menunggu laporan daripada jurulatih dari Terengganu itu mengenai prestasi skuad bimbingannya pada Piala Tiger.

Malaysia mencatat keputusan terbaik kali ini dengan menduduki tempat ketiga kejohanan itu.

''Kita akan lakukan post-mortem terhadap pasukan kebangsaan sebelum sesuatu keputusan dibuat. Selain kedudukan pasukan kebangsaan, ia juga mungkin membabitkan kedudukan jurulatih itu,'' tambah Yap.

Rahman bermula pada keadaan cukup sukar apabila terpaksa membina semula pasukan kebangsaan yang dibubarkan pada hujung 1997 sebaik Malaysia mencatat sejarah hitam tewas buat pertama kali kepada pasukan paling kerdil, Laos 1-0 pada Sukan SEA 1997 di Jakarta, sekali gus gagal ke separuh akhir buat kali keempat berturut-turut.

Bekas jurulatih Terengganu itu mula memikul tugas membimbing skuad kebangsaan pada Kejohanan Piala Dunhill di Vietnam pada 1998 dan gagal melepasi peringkat kumpulan.

Pasukannya juga gagal mara ke separuh akhir Sukan SEA 1999 di Brunei dan kemudian gagal melepasi peringkat kelayakan Piala Asia yang dilangsungkan di Shah Alam dan Bangkok, April lalu.

Namun, prestasi pasukan kebangsaan sedikit membanggakan apabila muncul naib juara Pestabola Merdeka 2000, tewas kepada New Zealand pada perlawanan akhir kejohanan yang disertai empat pasukan.

Dan tempat ketiga pada Piala Tiger, tugasan terakhir Rahman sebelum kontraknya tamat, memberikan sedikit harapan buat skuad kebangsaan.

Begitupun, FAM dikatakan mahu melihat terlebih dahulu prestasi Rahman pada kejohanan itu sebelum membuat keputusan mengenai kedudukannya.

Pada Piala Tiger kali ini, Malaysia dianggap cemerlang apabila berjaya melepasi peringkat kumpulan selepas seri 0-0 dengan Vietnam, menebus dendam ke atas Laos dengan kemenangan bergaya 5-0, mengatasi Kemboja 3-2 sebelum menumpaskan musuh tradisi, Singapura 1-0.

Pada separuh akhir, Malaysia berdepan tugas paling sukar sebelum akhirnya tunduk kepada pasukan Thailand 2-0.

Kejayaan di tempat ketiga dikira satu peningkatan besar bagi skuad negara yang sebelum ini tenggelam di peringkat antarabangsa.

Malaysia gagal lima kali berturut-turut ke separuh akhir Sukan SEA selain ditimpa malapetaka paling buruk dalam tempoh itu.

Paling memalukan kekalahan kepada Filipina 1-0 pada Sukan SEA 1991 di Manila, tewas dengan jaringan sama kepada Laos pada Sukan SEA 1997 di Jakarta dan tewas teruk 6-0 kepada Indonesia pada Sukan SEA 1999 di Brunei.

Malaysia bakal berdepan satu lagi tugas sukar pada kelayakan Piala Dunia 2002 Mac depan apabila diletakkan sekumpulan dengan Qatar, Hong Kong dan Palestin.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b6ytVq4X © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan