Ahad, 12 Mac 2017

Skuad negara masih banyak kelemahan

ARKIB : 20/11/2000
Daripada:ZAINUL AZHAR ASHARI
BANGKOK - Akhirnya, tempat ketiga menamatkan pencarian Malaysia selepas menempuh cabaran dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Tiger yang berlangsung di Thailand dari 5 November sehingga kelmarin.

Walaupun sasaran skuad negara ke kejohanan tersebut hanya untuk layak ke separuh akhir sudah diperoleh, persembahan Malaysia jelas masih menimbulkan persoalan?

Apakah persembahan Malaysia sudah meningkat selepas menang tempat ketiga dengan menewaskan Vietnam 3-0, keputusan yang sedikit menggembirakan tetapi masih perlu dilihat secara keseluruhannya.

Malaysia bermula dengan baik apabila seri tanpa jaringan dengan Vietnam dalam perlawanan kumpulan B di Songkhla yang selain dianggotai kedua-dua negara berkenaan turut disertai Singapura, Kemboja dan Laos.

Begitu juga dengan kemenangan besar 5-0 ke atas Laos tetapi agak mengecewakan apabila skuad negara hanya menang tipis 3-2 kepada Kemboja sebelum menewaskan Singapura 1-0 untuk layak ke separuh akhir kejohanan tersebut di sini.

Perlawanan dengan Kemboja sememangnya sudah berlalu tetapi kesannya masih terasa sehingga kini hanya disebabkan aksi tidak bermaya dipersembahkan skuad bimbingan jurulatih Abdul Rahman Ibrahim.

Bayangkan, pada perlawanan kali ini, Kemboja sudah mampu untuk membolosi dua jaringan ke atas Malaysia selepas skuad kebangsaan mendahului 3-0, bagaimana pula suatu hari nanti?

Jika diimbas kembali sejarah lampau, inilah yang berlaku kepada skuad kebangsaan setelah suatu ketika begitu digeruni Jepun dan Korea Selatan tetapi kini, Malaysia sebaliknya ketinggalan.

Usahkan Jepun dan Korea Selatan, jika dibandingkan Thailand sekalipun sudah ibarat ''langit dengan bumi,'' malah kini ada pula negara terpencil seperti Kemboja cuba bangkit memberi cabaran.

Pastinya, skuad kebangsaan tidak mahu sejarah lama, seperti kekalahan kepada Laos dan Filipina masing-masing dengan satu jaringan berulang kembali namun jika persembahan Malaysia

Seharusnya, Malaysia skuad kebangsaan tidak terlalu dibuai mimpi indah, hanya semata-mata kerana menewaskan Vietnam bagi perebutan tempat ketiga kejohanan itu di samping keupayaan mengatasi Singapura dalam saingan peringkat kumpulan.

Sewajarnya Malaysia memenangi perlawanan ke atas Vietnam yang mempamerkan aksi hambar selepas gagal ke perlawanan akhir, di samping kesungguhan ditunjukkan pemain.

Kenapa dalam saingan separuh akhir, Malaysia gagal untuk mempamerkan aksi sebegini walaupun menghadapi lawan lebih handal iaitu Thailand.

Bukannya disebabkan kekalahan kepada pasukan lebih baik seperti Thailand tetapi persembahan membosankan daripada skuad kebangsaan menjadi ukuran selepas gagal memberikan tentangan.

Thailand yang menewaskan Indonesia 4-1 dalam perlawanan akhir untuk menjuarai kejohanan tersebut terus menjadi kuasa bola sepak di rantau Asia Tenggara.

Sedangkan Malaysia yang seharusnya dapat menyaingi Thailand masih terkapai-kapai untuk mengatasi pasukan kerdil seperti Kemboja.

Kini, saingan sudah berakhir tetapi segala-galanya masih perlu direnung kembali oleh kesemua pihak yang terlibat dalam skuad kebangsaan supaya dapat membentuk kembali pasukan lebih mantap pada masa depan.

Apakah lagi tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengatasi masalah berkaitan skuad kebangsaan yang masih belum selesai sejak dahulu sehingga kini? - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b6y9GvyP © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan