Ahad, 12 Mac 2017

Kita tempat ketiga


 

ARKIB : 19/11/2000
PENYERANG negara, Rusdi Suparman (tengah) dikerumuni rakan sepasukan, dari kiri Hairuddin Omar, Ahmad Shahrul Azhar, Azman Adnan dan Bobby Pian selepas menjaringkan gol kedua Malaysia ketika menentang Vietnam pada perlawanan penentuan tempat ketiga Kejohanan Bola Sepak Piala Tiger 2000 di Stadium Rajamangala, Bangkok, semalam. Malaysia menang 3-0. - Gambar SAIFUL NIZAM BAHARI.

MALAYSIA............3

Rosdi Talib (42)

Rusdi Suparman (59, 90)

VIETNAM.............0

Daripada:ZAINUL AZHAR ASHARI
BANGKOK - Malaysia mengakhiri cabaran Kejohanan Bola Sepak Piala Tiger dengan menduduki tempat ketiga selepas mengatasi Vietnam 3-0 di Stadium Rajamangala, di sini, semalam.

Kejayaan tersebut sekurang-kurangnya mengubat kekecewaan skuad negara selepas tewas 0-2 kepada Thailand dalam aksi separuh akhir Khamis lalu.

Dengan kemenangan ini Malaysia meraih AS$20,000 (RM76,000), sementara Vietnam membawa pulang AS$10,000 (RM38,000).

Pemain pertahanan, Rosdi Talib menceriakan skuad negara menerusi jaringan minit ke-42 sebelum Rusdi Suparman menambah dua gol pada minit ke-59 dan 90.

Babak pertama menyaksikan permainan seimbang disajikan kedua-dua pasukan menerusi beberapa serangan yang gagal mencari penyudah.

Dua pemain skuad negara yang tidak pernah beraksi sebelum ini, tonggak pertahanan Leong Hong Seng dan penjaga gawang, Azmin Azram Abdul Aziz diberi kesempatan oleh jurulatih Abdul Rahman Ibrahim semalam.

Kesempatan terbaik akhirnya terhidang buat Malaysia apabila sepakan percuma Ahmad Shaharuddin Rosdi dari jarak 25 meter terkena tiang gol Vietnam tetapi bola yang melantun gagal ditanduk Rusdi pada minit ke-40.

Skuad negara meneruskan ancaman kepada Vietnam, menyaksikan rembatan pemain pertahanan, Rosdi mengelirukan penjaga gol, Vo Van Vanh yang menepis masuk percubaan minit ke-42 untuk skuad negara mendahului 1-0.

Jaringan itu menyemarakkan semangat pemain Malaysia yang menyambung aksi separuh masa kedua dengan serangan ke kubu Vietnam.

Dalam satu serangan skuad negara, Rusdi bertindak bijak melarikan bola ke dalam kotak penalti Vietnam sebelum menyepak masuk ke penjuru gawang yang gagal ditangkap penjaga gol Vo Van Hanh pada minit ke-59.

Rusdi melengkapkan kemenangan Malaysia apabila dia berjaya memperdayakan pemain pertahanan Vietnam, Pham Hung Dung menyepak masuk jaringan minit terakhir permainan.

VIETNAM:
Vo Van Hanh, Mai Tien Dung (Pham Hung Dung), Vo Huang Buu, Nguyen Duc Thang, Vu Chong Thuyen, Nguyen Phi Hung, Le Huynh Duc, Tran Quan Huy (Tran Cong Minh), Nguyen Van Sy (Van Sy Thuy), Pham Nhu Thuan, Trieu Quang Ha.

MALAYSIA:
Azmin Azram Abdul Aziz, Abdul Ghani Malik, B. Rajnikandh, Leong Hong Seng, Rosdi Talib, Bobby Pian, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, Ahmad Shaharuddin Rosdi (Hairuddin Omar), Jaafar Salleh (Muhammad Anuar Jusoh), Nizaruddin Yusoff (Azman Adnan) , Rusdi Suparman. - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b6wJZ0vr © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan