Ahad, 12 Mac 2017

Peluang terakhir tempat ketiga

ARKIB : 18/11/2000
Daripada:ZAINUL AZHAR ASHARI
BANGKOK - Perjalanan masih jauh bagi skuad negara sekiranya ingin bergelar jaguh di Asia Tenggara tetapi matlamat untuk sekurang-kurangnya berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik tetap terbuka luas apabila Malaysia bertemu Vietnam pada Kejohanan Bola Sepak Piala Tiger, di Stadium Rajamangala, di sini, hari ini.

Setelah terlepas kesempatan untuk ke perlawanan akhir kejohanan tersebut pada kali ini, Malaysia perlu menunggu dua tahun lagi sekiranya ingin mencipta kebangkitan.

Berdasarkan persembahan tidak bermaya daripada skuad negara yang tewas 0-2 kepada Thailand dalam separuh akhir kejohanan tersebut, sewajarnya pada tahun ini, Malaysia hanya layak beraksi bagi merebut tempat ketiga.

Bagaimanapun, saingan sengit masih menanti pemain negara kerana lawan bakal dihadapi ialah Vietnam yang turut tersingkir ke perlawanan akhir selepas tewas 2-3 kepada Indonesia.

Dengan perlawanan akhir menjadi tumpuan di antara Thailand dengan Indonesia, saingan untuk tempat ketiga turut menarik perhatian Malaysia dan Vietnam.

Dalam pertandingan kumpulan B di Songkhla, Malaysia seri tanpa jaringan dengan Vietnam tetapi kemudiannya menang 3-2 ke atas Kemboja, membelasah Laos 5-0 sebelum menewaskan Singapura 1-0.

Kemenangan tipis 1-0 ke atas Singapura dalam perlawanan penentuan kumpulan B untuk ke separuh akhir menyaksikan prestasi membanggakan daripada pemain berbanding ketika menang 3-2 ke atas Kemboja.

Begitu juga ketika menentang Thailand dalam separuh akhir, Malaysia sekali lagi mempamerkan persembahan tidak konsisten sehingga mudah dijinakkan pemain lawan.

Setelah terlepas peluang membuat kejutan, kini hanya satu lagi perlawanan yang perlu dibereskan Malaysia untuk memberi sedikit penawar sebelum berlepas pulang.

Jurulatih Abdul Rahman berkata, pasukan bimbingannya kini memberi tumpuan memenangi perlawanan menentang Vietnam selepas persembahan tidak bermaya ketika bertemu Thailand.

Menurutnya, ketika menentang Thailand, pemain seharusnya tidak merasa tekanan kerana sudah menepati sasaran ke separuh akhir tetapi keadaan menjadi sebaliknya.

''Pemain kita (Malaysia) merasa tekanan, bukannya Thailand tetapi dalam separuh masa kedua, Malaysia melupakan gangguan seperti itu sehingga mampu mengatur serangan,'' katanya semalam. Sehubungan itu, kata Abdul Rahman, pemain Malaysia akan beraksi sebagaimana ditunjukkan dalam separuh masa kedua sewaktu menentang Thailand.

Katanya, beberapa pemain simpanan akan diturunkan menentang Vietnam termasuk menggantikan Mohd. Ali Tahar yang mengalami kecederaan.

Namun, tentangan sengit bakal diberikan Vietnam sebagaimana digambarkan oleh jurulatihnya, Alfred Riedl yang mahu pasukan bimbingannya memenangi satu pingat untuk dibawa pulang.

''Kita mahukan satu kemenangan tempat ketiga untuk rakyat Vietnam yang sememangnya kecewa apabila pasukan ini (Vietnam) gagal ke perlawanan akhir,'' tambahnya.

Jelas, semangat Vietnam tetap tinggi untuk membawa pulang kemenangan kepada rakyatnya walaupun menyedari kejayaan itu hanya meletakkannya di tempat ketiga.

Inilah semangat yang seharusnya tertanam dalam jiwa pemain skuad negara untuk bangkit memberi tentangan sengit kepada Vietnam.

Jika skuad negara mempunyai komitmen tinggi sudah pasti mereka berupaya untuk memastikan Malaysia masih berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b6uhLWKP © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan