Ahad, 12 Mac 2017

Kita tumpas Bola Sepak Piala Tiger

ARKIB : 17/11/2000

PEMAIN Malaysia, Rosdi Talib (kanan) cuba menghalang pergerakan penyerang Thailand, Kiatisuk Senamuang pada perlawanan separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Tiger di Bangkok, semalam. Malaysia kalah 2-0. - Gambar SAIFUL NIZAM BAHARI.

THAILAND...........2 - MALAYSIA...........0

BANGKOK - Hasrat Malaysia untuk melakukan kejutan berkecai apabila tewas 2-0 kepada Thailand yang mengesahkan tempat dalam perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Tiger selepas berakhirnya saingan separuh akhir di Stadium Rajamangala di sini, semalam.

Dua jaringan yang dihasilkan Kiatisuk Senamuang (30) dan Tawan Sripan pada minit ke-35 melenyapkan impian skuad negara, sebaliknya membawa Thailand ke perlawanan akhir kejohanan itu untuk bertemu Indonesia di stadium yang sama esok.

Sebelum itu, dalam satu lagi aksi separuh akhir, Indonesia menewaskan Vietnam menerusi jaringan emas Gendut Christiawan pada minit ke-120 untuk melengkapkan kemenangan 3-2.

Sementara Malaysia gagal menyaingi Thailand yang jauh lebih mantap menerusi gerakan lebih tersusun dibandingkan skuad negara.

Thailand, juara Kejohanan Bola Sepak Piala Tiger 1996 selepas menewaskan Malaysia 1-0 masih merupakan pasukan yang sukar untuk dihadapi oleh Malaysia.

Percaturan jurulatih Abdul Rahman Ibrahim menurunkan semula pemain pertahanan, Khairil Zainal untuk mengekang asakan pantas penyerang lawan terutama Kiatisuk ternyata gagal.

Sebaik bermula babak pertama, Thailand terus mengasak dengan melancarkan beberapa serangan pantas ke kubu skuad negara.

Hantaran Kiatisuk ke depan pintu gawang Malaysia sempat ditanduk Sakesan Pituratna namun penjaga gawang, Kamarulzaman dapat menangkap kemas percubaan minit ke-18.

Kesilapan Khairil dengan penjaga gol, Kamarulzaman yang membiarkan bola di depan kubu Malaysia hampir membawa padah, tetapi tandukan Kiatisuk pula terkeluar walaupun pintu gol terbuka luas pada minit ke-23.

Selepas menggandakan asakan, akhirnya Thailand membuka tirai jaringan apabila tolakan Sakesan tepat ke kaki Kiatisuk yang terus merembat masuk jaringan minit ke-30.

Kepincangan barisan pertahanan Malaysia jelas apabila terus membenarkan penyerang Thailand berlegar dalam kotak penalti pasukan negara untuk Kiatisuk mudah membuat hantaran yang disepak masuk Tawan pada lima minit kemudian untuk skuad negara gajah putih itu mendahului 2-0 sehingga tamat babak pertama.

Bersambungnya separuh masa kedua, Thailand terus memberi tekanan kepada Malaysia yang gagal bangkit untuk mencari jaringan penyamaan.

Bagaimanapun, kesempatan terhidang juga buat skuad negara apabila Muhammad Anuar Jusoh melakukan rembatan kencang untuk memaksa penjaga gawang, Wirat Wangchan melayangkan badan menepis percubaan minit ke-83.

Namun, kesuntukan masa menghalang hasrat pasukan negara untuk bangkit mencari jaringan bagi mengakhiri saingan dengan kekalahan 0-2. - Utusan

THAILAND:
Wirat Wangchan, Thanongsak Pajakkat, Niweat Siriwong, Choketawee Promrut, Anuruck Srikert, Tawan Sripan (Chukiat Noosalung), J. Surachai (Terdsak Chaiman), Kiatisuk Senamuang, Surachai Jirasirichote, Sakesan Pituratna (Sutee Suksomkit), Tananchai Boriban.

MALAYSIA:
Kamarulzaman Hassan, Khairil Zainal (Abdul Ghani Malik), B. Rajnikandh, Mohd. Ali Tahar, Rosdi Talib, Muhammad Anuar Jusoh, R. Suresh Kumar (Nizaruddin Yusoff), Bobby Pian, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, Hairuddin Omar (Ahmad Shaharuddin Rosdi), Azman Adnan.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b6X2pXm8
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan