Ahad, 12 Mac 2017

Bola Sepak Piala Tiger -- Malaysia tetap mahu menang

ARKIB : 12/11/2000
SONGKHLA - Malaysia tidak mahu terperangkap di sebalik percaturan dua pasukan, Vietnam dan Singapura yang merebut kedudukan dua tangga teratas kumpulan B dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Tiger di Stadium Tinsulanon, di sini.

Apa sahaja keputusan perlawanan di antara Vietnam dengan Singapura tidak mengubah tekad Malaysia mencari kemenangan ke atas pasukan republik itu dalam perlawanan penutup tirai peringkat kumpulan tersebut Isnin ini.

Skuad negara yang mengutip tujuh mata selepas menamatkan tiga perlawanan tetap mahukan kemenangan ke atas Singapura walaupun keputusan seri memadai untuk melayakkan Malaysia mengisi salah satu tempat teratas kumpulan berkenaan bagi melangkah ke separuh akhir di Bangkok pada 16 November.

Kemenangan ke atas Singapura bukan sekadar bagi memudahkan penyelesaian ke separuh akhir kejohanan tersebut, malah untuk menaikkan imej negara.

Singapura sejak dahulu lagi menjadi musuh tradisi Malaysia dalam bola sepak dalam sebarang perlawanan baik di peringkat tempatan mahu pun antarabangsa.

Disebabkan itu, jurulatih Abdul Rahman Ibrahim mementingkan persiapan rapi skuad negara daripada mencongak pertemuan di antara dua lagi pasukan yang bakal merebut tempat ke separuh akhir.

Ketika ditanya oleh seorang wartawan tentang pertemuan di antara Vietnam dengan Singapura, Abdul Rahman memberitahu bahawa beliau lebih memikirkan tentang persediaan pasukan bimbingannya itu.

Sememangnya Abdul Rahman terpaksa memikirkan persiapan skuad negara berdasarkan persembahan tidak bermaya apabila hanya mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas Kemboja.

Tempoh rehat tiga hari sebelum menghadapi Singapura pasti digunakan untuk memperbaikki apa sahaja kelemahan termasuk benteng pertahanan yang menyebabkan pintu gol negara dibolosi dua jaringan ketika perlawanan tersebut.

Bagi memperkuatkan benteng pertahanan, Abdul Rahman mungkin menurunkan kembali tonggak pertahanan, Khairil Zainal yang kini pulih daripada kecederaan selepas membantu Malaysia seri tanpa jaringan dengan Vietnam.

Abdul Rahman turut menjangkakan Bobby Pian pulih menjelang perlawanan dengan Singapura sebagai persediaan menghadapi Singapura. - Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4b6FBDOp1 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan