Ahad, 12 Mac 2017

Jadikan Singapura mangsa!

ARKIB : 11/11/2000
SONGKHLA - Kemenangan terbaru skuad negara bukan lagi suatu persoalan, tetapi keputusan dicapai menjadi ukuran keupayaan pemain yang seharusnya bangkit memberi tentangan sengit ke atas Singapura dalam perlawanan terakhir kumpulan B Kejohanan Bola Sepak Piala Tiger di Stadium Tinsulanon di sini, Isnin ini.

Kemenangan tipis 3-2 ke atas Kemboja jelas memberi amaran kepada Malaysia betapa keupayaan sebenar pemain yang sebelum ini beraksi begitu baik menentang Vietnam menerusi keputusan seri tanpa jaringan dengan Vietnam dan membelasah Laos 5-0.

Singapura pula turut mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kemboja, tetapi bentengnya masih tidak dibolosi sebarang gol berbanding Malaysia.

Lebih terkilan, Malaysia membenarkan golnya dibolosi dua jaringan selepas mendahului selesa 3-0 hasil jaringan Azman Adnan, Hairuddin Omar dan Ahmad Shahrul Azhar Sofian.

Hanya 17 minit sebelum permainan tamat Kemboja merapatkan jurang menerusi pemain gantian, Pok Chanthan, diikuti sepakan penalti Hok Sochentra pada minit ke-87.

Sememangnya tidak dinafikan semangat juang tinggi Kemboja, tetapi daripada persembahan ditunjukkan oleh skuad negara berbanding dengan aksi ketika menentang Vietnam dan Laos jelas menimbulkan tanda tanya?

Bagaimanapun, jurulatih Abdul Rahman Ibrahim memberitahu, keputusan ke atas Kemboja perlu juga dilihat dari sudut positif kerana dapat memberikan lebih semangat kepada pemain untuk memastikan kemenangan ke atas Singapura.

''Jika kita mengatasi Kemboja 3-0, apa akan jadi kepada pemain negara yang mungkin terlalu bersikap terlalu yakin sehingga boleh menyebabkan mereka terperangkap dengan aksi kurang memberangsangkan.

''Dari satu sudut pula, kemenangan tipis membangkitkan kesedaran kepada pemain supaya tidak lagi mengambil mudah dengan pasukan bakal dihadapi terutama Singapura yang perlu ditentang sebaik mungkin untuk memastikan kemenangan buat mencerahlan peluang ke separuh akhir,'' kata beliau.

Malaysia diletakkan dalam kumpulan B bersama Vietnam, Singapura, Kemboja dan Laos manakala Thailand, Indonesia, Myanmar dan Filipina menganggotai kumpulan A yang beraksi di Chiangmai.

Dalam kumpulan B, Malaysia turut menjadi pilihan untuk mengisi dua tangga teratas untuk layak ke separuh akhir selain Vietnam dan Singapura manakala misi Kemboja dan Laos sudah berakhir.

Dengan kemenangan itu Malaysia menduduki tangga teratas kumpulan berkenaan dengan mengumpul tujuh mata selepas tiga perlawanan, diikuti Singapura dan Vietnam masing-masing di tangga kedua dan ketiga.

Selepas seri dengan Malaysia, Vietnam menang besar 6-0 ke atas Kemboja untuk mengumpul empat mata, manakala Singapura memungut enam mata, tetapi kedua-dua pasukan cuma menghabiskan dua perlawanan.

Vietnam perlu mengelakkan kekalahan untuk mengelakkannya daripada tersingkir ke separuh akhir manakala Singapura juga mempunyai matlamat yang sama sebelum menghadapi Malaysia.

Sekiranya kedua-dua pasukan tersebut seri, Malaysia tidak mempunyai pilihan selain memastikan kemenangan ke atas skuad republik itu bagi memastikan kejayaan ke separuh akhir kerana Vietnam dijangka tidak menghadapi masalah untuk menewaskan Laos.

Abdul Rahman berkata, waktu rehat selama tiga hari memberi peluang kepadanya mengatur kembali barisan pemain dengan harapan Bobby Pian pulih untuk diturunkan menentang Singapura.

Sementara itu, kata Abdul Rahman, Khairil Zainal kini juga pasti bersedia untuk bersama-sama kesebelasan utama Malaysia selepas dilanda kecederaan dalam perlawanan menentang Vietnam. - Utusan

Daripada: ZAINUL AZHAR ASHARI
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4b6E2lq8o

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan