Ahad, 12 Mac 2017

Laluan Malaysia berliku


 

ARKIB : 10/11/2000
KEGEMBIRAAN jelas terbayang di wajah pemain-pemain negara selepas Hairuddin Omar (no. 20) menjaringkan gol kedua Malaysia semasa mengalahkan Kemboja 3-2 pada Kejohanan Bola Sepak Piala Tiger di Stadium Tinsulanon Songkhla, Thailand, semalam. - Gambar SAIFUL NIZAM BAHARI.

SONGKHLA - Laluan berliku menjadi pilihan Malaysia apabila hanya mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas Kemboja dalam perlawanan kumpulan B Kejohanan Bola Sepak Piala Tiger di Stadium Tinsulanon, di sini, semalam.

Selepas mendahului 3-0, Malaysia kembali mempamerkan aksi tidak bermaya untuk menyekat kemaraan Kemboja yang akhirnya merapatkan jurang menerusi dua jaringan.

Jaringan Malaysia dihasilkan Azman Adnan (penalti minit 20), Hairuddin Omar (47) dan ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian pada minit ke-62.

Sementara itu, Kemboja mendapat jaringan menerusi pemain gantian, Pok Chanthan (73) dan sepakan penalti Hok Sochentra pada minit ke-87.

Kemenangan tipis agak meresahkan Malaysia yang terpaksa berdepan Singapura dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 13 November ini.

Sebelum itu, Malaysia seri tanpa jaringan dengan Vietnam, tetapi menang besar 5-0 ke atas Laos, manakala Singapura cuma bermain satu perlawanan dengan mencipta kemenangan 1-0 ke atas Kemboja.

Dalam perlawanan semalam, skuad negara memulakan aksi dengan agak meyakinkan apabila mencemaskan lawan menerusi sepakan percuma Ahmad Shahruddin Rosdi tetapi bola rembatannya yang gagal ditangkap kemas penjaga gawang Kemboja, Soun Dara terkeluar sedikit dari pintu gol.

Begitu juga dengan hantaran ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar sekadar menyaksikan bola rembatan Azman Adnan tersasar sembilan minit kemudian.

Namun, persembahan Malaysia kemudiannya agak hambar dengan Kemboja pula mengambil alih serangan yang sesekali mencemaskan skuad negara.

Di sebalik keghairahan Malaysia mengasak, serangan balas Kemboja agak mencemaskan tetapi tandukan Hok Sochentra dapat dibaca penjaga gol, Kamarulzaman Hassan yang menangkap kemas percubaan minit ke-13.

Bagaimanapun, Malaysia memperolehi jaringan apabila sepakan percuma Mohd. Anuar Jusoh menyaksikan tandukan Hairuddin Omar terkena tangan seorang pemain pertahanan Kemboja dalam kotak penalti Kemboja.

Pengadil Hidayat Jajat Sudrajat (Indonesia) menghadiahkan sepakan penalti kepada Malaysia yang mudah disempurnakan oleh Azman pada minit ke-20.

Beberapa percubaan dilakukan Malaysia yang mengancam kubu Kemboja menerusi gandingan penyerang Azman, Rusdi Suparman dan Hairuddin tetapi kegagalan untuk mencari penyudah menggagalkan usaha sehingga berakhir separuh masa pertama.

Babak kedua terus menyemarakkan kemaraan Malaysia yang memberi tekanan kepada Kemboja dengan barisan pemain sama mengemudikan serangan.

Hasil hantaran pemain pertahanan, B. Rajnikandh menyaksikan Hairuddin menanduk bola yang gagal diselamatkan penjaga gol, Dara pada minit ke-47 untuk Malaysia mendahului 2-0.

Skuad kebangsaan yang masih tidak berpuas hati meneruskan kemaraan selepas jurulatih Abdul Rahman Ibrahim memasukkan Nizaruddin Yusoff untuk menggantikan Azman bagi menguatkan jentera serangan.

Dalam satu serangan pantas Malaysia, Rosdi Talib menyusun gerakan menarik apabila hantarannya ke depan gawang Kemboja menyaksikan Rusdi menolak ke belakang untuk Ahmad Shahrul Azhar merembat masuk jaringan minit ke-62.

Walaupun ketinggalan, Kemboja tidak berputus asa dengan mengatur serangan yang berjaya mengucar-kacirkan benteng pertahanan Malaysia.

Percaturan jurulatih Kemboja mengeluarkan Chan Arunreath ternyata berhasil apabila pemain gantian Pok Chanthan dapat melakukan sepakan dalam keadaan kelam kabut di depan pintu gol Malaysia yang menyaksikan bola gagal diselamatkan penjaga gawang, Kamarulzaman pada minit ke-73.

Tindakan Rajnikandh menjatuhkan Hok Sochetra dalam kotak penalti Malaysia membawa padah apabila pengadil memberikan sepakan penalti yang mudah disempurnakan pemain itu pada minit ke-87 untuk mengikat keputusan dengan skuad negara hanya menang 3-2.

Daripada: ZAINUL AZHAR ASHARI

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b6CSWgfZ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan