Ahad, 12 Mac 2017

Menang berterusan memudahkan laluan


 

ARKIB : 09/11/2000
PENYERANG negara, Hairuddin Omar menggelecek bola semasa menjalani latihan di Stadium Tinsulanon menjelang pertemuan dengan Kemboja hari ini dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Tiger di Songkhla, Thailand. - Gambar SAIFUL NIZAM BAHARI

SONGKHLA - Laluan ke separuh akhir sudah terbuka dan Malaysia hanya perlu mencatat kemenangan berterusan apabila berdepan dengan Kemboja dalam perlawanan kumpulan B bola sepak Piala Tiger di Stadium Tinsulanon di sini, hari ini.

Pasukan negara seharusnya mencipta kemenangan selepas seri tanpa jaringan menentang Vietnam Ahad lalu diikuti kejayaan membelasah Laos 5-0 kelmarin bagi mencari kedudukan lebih selesa.

Hanya kemenangan sahaja yang mampu meletakkan pasukan negara dalam kedudukan selesa untuk ke separuh akhir.

Selepas bertemu Kemboja, Malaysia perlu mengharungi cabaran agak getir apabila berdepan dengan juara bertahan, Singapura dalam perlawanan terakhir kumpulan pada 13 November ini.

Selepas Vietnam dilihat sebagai pilihan untuk mengisi satu daripada dua tangga teratas kumpulan B, Malaysia kini terpaksa bersaing dengan Singapura.

Singapura menang 1-0 ke atas Kemboja dan mula tertekan selepas menyaksikan pasukan negara mengumpul empat mata berikutan keputusan seri menentang Vietnam dan menang ke atas Laos sedangkan pasukan republik tersebut perlu berdepan Vietnam, Laos dan Malaysia.

Berdasarkan kejayaan ke atas Laos kelmarin, Malaysia mampu untuk mengutip tiga mata penuh ke atas Kemboja seandainya pemain memberikan komitmen sepenuhnya dalam permainan.

Penyumbang jaringan ke atas Laos, Rusdi Suparman, Azman Adnan, Hairuddin Omar dan ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian sudah tentu akan turun dengan lebih bersemangat untuk memastikan Malaysia mengalahkan Kemboja.

Berbanding Laos, Kemboja merupakan pasukan yang lebih kuat walaupun sudah tewas dua kali, kalah kepada Singapura 0-1 dan dibelasah Vietnam 0-6 kelmarin.

Bagaimanapun, jurulatih Malaysia, Abdul Rahman Ibrahim yang begitu yakin dengan kemampuan pasukannya memberitahu beliau kini banyak pilihan pemain.

''Walaupun pergerakan Azman agak lambat selepas tiga tahun tidak terdedah dengan skuad kebangsaan, saya tetap yakin dia mampu mengemudi barisan serangan.

''Azman terlepas beberapa percubaan kerana lambat bertindak. Mungkin dia mampu mencipta jaringan apabila menentang Kemboja,'' tambah beliau.

Di sebalik keyakinan tinggi itu, Abdul Rahman tetap kurang berpuas hati dengan corak hantaran bola masih lemah.

''Saya gembira dengan kemenangan ke atas Laos tetapi kelemahan kita ialah sewaktu membuat hantaran. Ia perlu diatasi segera,'' kata beliau.

Gandingan terbaik Malaysia sewaktu menentang Laos bakal digunakan sekali lagi dalam pertemuan hari ini. - Utusan

Daripada: ZAINUL AZHAR ASHARI

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b6BF0sF7 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan