Ahad, 12 Mac 2017

Bola Piala Tiger - Skuad negara tunai janji


 

ARKIB : 08/11/2000
RUSDI Suparman (depan) meraikan jaringan pertama untuk Malaysia sambil dipeluk oleh ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian semasa menentang Laos dalam perlawanan kumpulan B Kejohanan Bola Sepak Piala Tiger di Songkhla, Thailand semalam. Rusdi menjaringkan dua gol untuk membantu Malaysia menang 5-0. - Gambar SAIFUL NIZAM BAHARI.

MALAYSIA 5 LAOS 0
Rusdi Suparman (29, 53) Azman Adnan (31) Hairuddin Omar (43) Ahmad Shahrul Azhar Sofian(47)

Daripada: ZAINUL AZHAR ASHARI
SONGKHLA - Malaysia menunaikan janjinya untuk menghasilkan kemenangan sulung dalam perlawanan kumpulan B Kejohanan Piala Tiger apabila menewaskan Laos 5-0 di Stadium Tinsulanon, di sini, semalam.

Kemenangan tersebut penting buat Malaysia memungut seberapa banyak mata bagi bersaing merebut dua tangga teratas dalam kumpulan itu untuk mencerahkan laluan ke separuh akhir di Bangkok pada 16 November ini.

Kejayaan awal itu pastinya menyemarakkan semangat Malaysia untuk terus mencapai kejayaan dalam kumpulan berkenaan yang turut dianggotai Vietnam, Singapura, Laos dan Kemboja.

Dalam perlawanan semalam, skuad kebangsaan memperoleh gol menerusi jaringan Rusdi Suparman (minit 29, 53), Azman Adnan (minit 31), Hairuddin Omar (minit 43) dan Ahmad Shahrul Azhar Sofian (minit 47).

Sebaik pengadil, Andrees Jerry (Filipina) meniupkan wisel tanda bermula babak pertama, Malaysia menyerang pantas ke kubu Laos tetapi pergerakan agak lambat dari barisan serangan menggagalkan usaha mencari jaringan.

Peluang yang terhidang gagal disempurnakan apabila sepakan lemah Rusdi mudah ditangkap penjaga gawang Laos, Xeunvillay Soulivanh pada minit ke-3.

Begitu juga R. Suresh Kumar yang membuat percubaan terus ke dakapan penjaga gawang, Xeunvillay untuk menyaksikan kubu Laos sekali lagi terselamat tujuh minit kemudian. Akhirnya usaha Malaysia berhasil apabila lontaran ke dalam oleh Bobby tepat ke kaki Rusdi yang melarikan bola ke dalam kotak penalti Laos sebelum merembat kencang ke dalam gawang untuk jaringan minit ke-29.

Tekanan yang berterusan memaksa penjaga gol, Xeunvillay menjatuhkan Ahmad Shahrul Azhar Sofian di dalam kotak penalti Laos untuk pengadil Andrees menghadiahkan sepakan penalti kepada Malaysia yang mudah disempurnakan Azman pada minit ke- 31.

Bagi menambah derita Laos, Muhammad Anuar Jusoh melakukan hantaran jauh untuk pemain gantian, Hairuddin menguis bola melepasi penjaga gol Xeunvillay sebelum menyudahkannya dengan rembatan ke dalam gawang bagi jaringan minit ke-43.

Bermula babak kedua, Malaysia terus mengancam Laos apabila rembatan jarak 30 meter daripada ketua pasukan, Ahmad Shahrul terkena palang gol pasukan lawan pada minit ke-52.

Sekali tersasar bukan menghalang semangat Malaysia untuk terus mencari jaringan dengan Muhammad Anuar Jusoh memulakan gerakan menerusi hantaran cantik untuk disepak masuk Rusdi seminit kemudian.

Laos mendapat kesempatan terbaik tetapi ketua pasukannya, Savatdy Saysana gagal melakukan penyudah apabila sepakannya ditepis penjaga gawang, Kamarulzaman Hassan pada minit ke-70.

Di sebalik percubaan Laos, Malaysia menambah jaringan apabila Ahmad Shahrul Azhar menyepak masuk percubaan minit ke-88 bagi mengakhiri kemaraan dengan kemenangan 5-0.

LAOS:

Xeunvillay Soulivanh (Chanthavong Khamsay), Chanthavong Khamsaay, Xayavong Vilayphone, Luang Amart Chalana, Khenkitisack Bounlap, Savatdy Saysana, Vannabouathong Bounvong, Channiphone Keolakhone (Phonphachanh Kholadeth), Homsombath Khonsavanh, Nanthapaseuth Nitinay (Anan Thepsouvanh), Sengphanith Khempheth, Xeunvillay Soulivanh.

MALAYSIA:Kamarulzaman Hassan, Abdul Ghani Malik, Rosdi Talib, B. Rajnikandh, Mohd. Ali Tahar, Bobby Pian (Hairuddin Omar), Ahmad Shahrul Azhar Sofian, Muhammad Anuar Jusoh, R. Suresh Kumar (Ahmad Shahruddin Rosdi), Azman Adnan, Rusdi Suparman. - Utusan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b6ASyCgU © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan