Ahad, 12 Mac 2017

Kita berupaya tewaskan Laos


 

ARKIB : 07/11/2000
Kita berupaya tewaskan Laos
JURULATIH kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim memberi arahan kepada pemain semasa latihan di Songkhla, Thailand, semalam. Malaysia akan menentang Laos pada Piala Tiger di Songkhla, hari ini.

SONGKHLA - Kenangan pahit Sukan SEA 1997 apabila ditewaskan Laos pastinya masih diingati skuad bola sepak kebangsaan yang bakal berdepan pasukan negara itu dalam perlawanan kumpulan B Kejohanan Piala Tiger di Stadium Tinsulanon, di sini, hari ini.

Kekalahan 0-1 di Jakarta itu tentunya menghimpun 'dendam' yang tidak terkira untuk skuad negara bangkit menebus maruah dengan mencari kemenangan ke atas Laos dalam perlawanan hari ini, sekali gus mencerahkan laluan ke separuh akhir kejohanan tersebut di Bangkok pada 16 November ini.

Setelah mencatat keputusan cukup baik apabila seri tanpa jaringan dengan Vietnam, sudah sampai masanya bagi Malaysia mencari kemenangan dengan pertemuan dengan Laos menjadi perintis.

Malaysia tidak boleh mempunyai alasan lagi kecuali menang ke atas Laos, bukan sahaja untuk memudahkan laluan ke separuh akhir kejohanan tersebut, malah menjaga hati seluruh rakyat di tanah air.

Rakyat Malaysia mungkin boleh menerima alasan jika skuad kebangsaan tewas kepada pasukan handalan tetapi untuk kalah kepada Laos, mereka tidak sanggup menerimanya lagi.

Selain itu, Malaysia perlu mencari kemenangan pertamanya kerana bakal berdepan tugas berat khususnya apabila bertemu Singapura dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 13 November ini.

Dalam kumpulan itu, selain Laos, Malaysia turut diletakkan bersama-sama Vietnam, Singapura dan Kemboja manakala kumpulan A yang bersaing di Chiang Mai dianggotai Thailand, Myanmar, Indonesia dan Filipina.

Kesempatan berada dalam kumpulan B seharusnya dimanfaatkan skuad kebangsaan kerana peluang ke separuh akhir cukup cerah sekiranya keseluruhan pemain memberikan komitmen sepenuhnya.

Begitu juga dengan jurulatih Abdul Rahman Ibrahim yang mahu Malaysia mencari kemenangan ke atas Laos, bukan sahaja untuk kelayakan ke separuh akhir tetapi bagi membalas dendam akibat kekalahan pada 1997.

''Apa yang diketahui tentang Laos ialah pasukan ini pernah menewaskan Malaysia tetapi kali ini kita ingin mengalahkannya pula,'' kata beliau dalam sidang akhbar mengenai pertemuan di antara kedua-dua pasukan, di sini, semalam.

Beliau memberitahu, berdasarkan keupayaan Malaysia mengikat Vietnam dalam perlawanan kelmarin, Malaysia seharusnya dapat mengalahkan Laos.

Abdul Rahman mempunyai keyakinan dapat menyekat kemaraan Laos berdasarkan persembahan ''anak-anak buahnya'' dalam perlawanan menentang Vietnam.

''Berdasarkan perlawanan menentang Vietnam, pemain seperti R. Suresh Kumar agak gugup dalam 20 minit pertama tetapi kemudian dapat menyaingi rentak permainan.

''Begitu juga Azman Adnan, mempunyai peluang terbaik untuk menghasilkan jaringan namun gagal menyempurnakannya kerana lambat bertindak kerana dia sudah lama tidak bermain di peringkat antarabangsa,'' tambah beliau.

Abdul Rahman berkata, ternyata pemain mempunyai keupayaan untuk memberikan saingan kepada lawan termasuk menghadapi Laos hari ini.

Kata beliau, beliau berpuas hati dengan kombinasi yang diturunkan dalam pertemuan dengan Vietnam kecuali ada sedikit perubahan disebabkan kecederaan pemain yang menimpa pemain pertahanan Khairil Zainal, Mohd. Ali Taha dan Bobby Pian.

Bagaimanapun, kata beliau, Khairil dan Mohd. Ali dijangka pulih menjelang perlawanan hari ini kecuali Bobby yang agak serius.

Barisan kemungkinan:
Kamarulzaman Hassan, B. Rajnikandh, Khairil Zainal, Mohd. Ali Tahar, Rosdi Talib, Mohd. Anuar Jusoh, R. Suresh Kumar, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, Hairuddin Omar, Azman Adnan, Rusdi Suparman. - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b68WpUhg © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan