Sabtu, 11 Mac 2017

Perlawanan Malaysia, Vietnam sengit

ARKIB : 05/11/2000
SONGKHLA - Jurulatih Malaysia, Abdul Rahman Ibrahim tetap yakin dengan kemampuan pasukan bimbingannya dalam menghadapi Vietnam yang merupakan sebuah lagi skuad pilihan kumpulan B Kejohanan Piala Tiger yang akan berlangsung di sini dari 5 hingga 13 November ini.

Kata beliau, barisan sedia ada perlu mencari kemenangan untuk Malaysia mencari kedudukan lebih baik dalam bola sepak di Asia Tenggara.

''Kita menyedari perlawanan esok (hari ini) penting kerana berdepan Vietnam tetapi pemain mempunyai tanggungjawab untuk mencari kemenangan,'' kata beliau dalam sidang akhbar yang turut dihadiri rakan sejawatannya dari Vietnam, Singapura, Laos dan Kemboja, di sini, semalam.

Sementara itu, jurulatih Vietnam, Alrfed Riedl menyifatkan kedua-dua pasukan mempunyai tahap permainan yang setanding sehingga menjadi sengit.

''Malaysia mempunyai pasukan yang baik tetapi coraknya tahapnya sama dengan Vietnam, ini menjanjikan permainan lebih terbuka esok (hari ini),'' tambah beliau.

Namun Abdul Rahman dan Riedl berkongsi pendapat bahawa skuad kerdil seperti Laos dan Kemboja tetap ''mencurigakan'' dalam kumpulan tersebut.

''Jangan pandang rendah keupayaan Laos dan Kemboja kerana kedua-dua pasukan ini boleh melakukan kejutan,'' kata Riedl yang berasal dari Australia tetapi kini melatih Vietnam.

Menurut jurulatih tersebut, malah kadangkala lebih bahaya untuk menghadapi pasukan seumpama itu yang tidak ketahui kemampuan sebenarnya.

Abdul Rahman pula berkata, tidak mustahil Laos dan Kemboja dapat menjejak ke separuh akhir sekiranya kedua-dua pasukan tersebut tidak diberi perhatian.

Selain itu, kata Abdul Rahman, faktor sekeliling termasuk cuaca juga boleh mengubah rentak permainan sesebuah pasukan walaupun ia menjadi pilihan.

''Segalanya boleh berlaku, faktor sekeliling dan cuaca juga boleh menjadi puncanya,'' tambah beliau. - Utusan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4b61K9m5M © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan