Selasa, 14 Mac 2017

Allan Harris mulakan tugas



ARKIB : 09/01/2001
TIMBALAN Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memberikan kata-kata peransang kepada pemain-pemain sebelum menjalani latihan di Wisma FAM, Petaling Jaya semalam.

Semalam adalah hari pertama Allan bersama skuad senior kebangsaan sejak disahkan sebagai pengganti Abdul Rahman Ibrahim pada 5 Disember lepas.

Allan nyata mendapat suntikan semangat dengan tugas barunya itu apabila kesemua 24 pemain yang dipanggil hadir untuk menyertai latihan pusat di Wisma FAM bermula semalam.

Malah, Allan tidak sedikit pun menunjukkan bahawa beliau tertekan dengan tanggungjawab barunya walaupun cabaran pertama yang menunggunya ialah pusingan kelayakan Piala Dunia yang akan berlangsung di Hong Kong dan Doha, Qatar.

"Saya tidak merasakan ada tekanan,'' kata bekas penolong pengurus kelab terkemuka Sepanyol, Barcelona itu. "Malah, saya suka dengan tekanan. Di Barcelona tekanannya lebih tinggi tetapi di sini saya tidak merasakannya.

"Saya juga tidak suka cuti yang panjang kerana saya lebih gemar bersama dengan pemain-pemain.''

Malaysia diletakkan dalam kumpulan tiga bersama Qatar, Hong Kong dan Palestin pada pusingan kelayakan Piala Dunia.

Pusingan pertama akan diadakan di Hong Kong pada 3-11 Mac, sementara pusingan kedua dilangsungkan di Doha, Qatar pada 20-25.

Walaupun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak meletakkan sasaran kepada Allan, tetapi jurulatih dari Britain itu mempunyai impiannya yang tersendiri.

"Saya ingin membawa bola sepak Malaysia kembali kepada zaman kegemilangannya. Bola sepak mempunyai peminat yang ramai di sini, jika bola sepak dapat kembali kepada tahap yang tinggi, lebih ramai peminat akan datang ke stadium dan memberikan sokongan,'' katanya.

Mengenai nasib penyerang, Nizaruddin Yusuf yang sebelum ini disenaraikan, Allan memberitahu bahawa beliau tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu pemain itu.

Allan terpaksa mencicirkan nama Nizaruddin yang digantung selama empat bulan oleh Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) kerana mengikat kontrak dengan Selangor ketika kontraknya masih berbaki.

"Saya tidak tahu mengenai nasib Nizaruddin. Saya tidak mempunyai kuasa untuk membantunya. Bagaimanapun kita sudah mempunyai empat penyerang yang bagus,'' jelas beliau.

Empat penyerang yang berada dalam senarai Allan ketika ini ialah dua pemain Selangor, Rusdi Suparman dan Hairuddin Omar, pemain Perak, Khalid Jamlus dan V. Saravanan.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan pemain-pemain lain termasuk penyerang Azman Adnan yang digugurkan akan dipanggil jika perlu baginya berbuat demikian.

"Saya fikir 24 pemain ini mencukupi. Lebih kecil jumlah pemain lebih baik kerana mudah untuk diawasi,'' jelasnya. "Tetapi, saya pasti memanggil pemain-pemain lain termasuk Azman jika perlu.''

Mengenai hajatnya untuk mendapatkan anak didiknya, Akhmal Rizal Ahmad Rakhli dan Juzaili Samion bagi memperkukuhkan skuad, Allan berkata, beliau tidak meletakkan harapan tinggi untuk melihat pemain kedua-dua pemain itu beraksi untuk Malaysia ketika ini.

"Saya lebih mengharapkan agar mereka dapat memburu cita-cita untuk bermain di Eropah,'' jelas beliau.

Akhmal dan Juzaili ketika ini mempunyai kontrak latihan sambil bermain dengan kelab Perancis, FC Strasbourg.

Menurut Allan, beliau berharap rancangan untuk mengadakan tiga perlawanan persahabatan termasuk dengan kelab terkemuka Switzerland, FC Aarau dapat dilakukan sebelum mereka berangkat ke Hong Kong.

Dua lagi perlawanan persahabatan ialah menentang sebuah kelab dari Hungary dan kebangsaan Fiji, namun kesemua perlawanan itu belum ditentukan tarikhnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4bJ3gZY8S
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan