Selasa, 14 Mac 2017

Kecergasan pelatih di tahap rendah



ARKIB : 10/01/2001
KECERGASAN para pelatih bola sepak kebangsaan berada pada tahap rendah ketika ini tetapi jurulatih Allan Harris tidak bimbang dengan keadaan itu.

Menurutnya, tempoh rehat panjang yang diberikan kepada pemain menjurus kepada faktor itu yang kini pasti menjadi agenda utamanya memulakan latihan.

"Kecergasan mereka sudah menurun selepas berehat panjang dan sudah tentu saya perlu meningkatkannya semula.

"Latihan utama kini menjurus kepada perkara itu. Kita akan mulakan perlahan-lahan,'' kata Harris selepas mengendali latihan pasukan kebangsaan di padang Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, semalam.

Harris dilantik menggantikan Abdul Rahman Ibrahim membimbing pasukan kebangsaan yang bakal mengharungi kelayakan Piala Dunia 2002, Mac ini.

"Kita baru dua hari berlatih bermula semalam (kelmarin). Saya percaya para pemain mampu meningkatkan kecergasan masing-masing dengan cepat,'' tambahnya.

Pasukan kebangsaan berehat panjang sebaik pulang dari Kejohanan Piala Tiger di Thailand, November lalu.

Malaysia muncul pemenang tempat ketiga dalam kejohanan itu di bawah kendalian Abdul Rahman.

Semua pemain menyambung latihan semalam kecuali pemain tengah, Ahmad Shahrul Azhar Sofian yang mengalami kecederaan pangkal paha.

"Kecederaannya tidak serius dan dia diberi rehat dua hari. Dia akan menyambung semula latihan selepas itu,'' kata Harris.

Sebagai persiapan skuad negara untuk kelayakan itu, Malaysia akan mengharungi siri perlawanan persahabatan, antaranya menentang pasukan kebangsaan Bahrain, sebuah kelab dari Hungary dan kelab Switzerland, FC Aarau di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, tarikh perlawanan itu belum ditetapkan oleh FAM.

Selain itu, Malaysia dijadualkan berkunjung ke Fiji pada 2 Februari ini untuk persahabatan di sana.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan Tiga dalam kelayakan itu bersama pilihan utama, Qatar, Hong Kong dan Palestin.

Pusingan pertama diadakan di Hong Kong pada 3-11 Mac manakala pusingan kedua di Doha, Qatar pada 20-25 Mac.

Harris berkata, beliau sudah mengkaji dan meneliti kekuatan dan kelemahan pasukan lawan dalam kumpulan itu dan mengakui Qatar adalah rintangan paling utama.

"Tetapi tidak bermakna kita memandang rendah keupayaan Hong Kong dan Palestin. Kita boleh menerima kejutan dalam kelayakan itu jika tidak berhati-hati,'' ujarnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4bJ7oo3qA
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan