Khamis, 16 Mac 2017

Usah pandang rendah Palestin - Harris



ARKIB : 25/03/2001
DOHA, Qatar - Jurulatih kebangsaan, Allan Harris mengakui perlawanan menentang Palestin pada aksi terakhir skuad negara hari ini dalam bola sepak kelayakan Piala Dunia Kumpulan Tiga Asia, lebih getir setelah melihat persembahan cemerlang pasukan lawan itu walaupun tewas 2-1 kepada Qatar, semalam.

``Kita jangan terus memandang rendah keupayaan Palestin kerana mereka sebenarnya lebih hebat daripada Hong Kong. Kita sudah tewas kepada Hong Kong dan mungkin kita akan menjadi mangsa Palestin pula.

``Ramai yang mudah membuat kesimpulan bahawa pasukan dari negara yang sedang berperang itu mudah diatasi tetapi andaian itu nyata silap. Kita sudah lihat aksi mereka. Mereka adalah sebuah pasukan yang bagus,'' kata Harris.

Pada perlawanan kedua pusingan kedua di Stadium Al-Sadd semalam, Malaysia tewas 2-1 kepada Hong Kong, gagal mengulangi kecemerlangan semasa pusingan pertama ketika negara itu menjadi tuan rumah.

Palestin pula memberi saingan hebat kepada Qatar sebelum tunduk 2-1 yang sekaligus memberi laluan kepada pasukan tuan rumah itu ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia zon Asia.

``Kita sudah tewas (1-0) kepada Palestin (pusingan pertama) dan mereka mampu ulangi kejayaan itu ke atas kita. Kita perlu lebih hati-hati kali ini kerana pasukan itu nampaknya semakin menunjukkan kemajuan,'' tambah Harris.

Allan turut melahirkan rasa begitu kecewa dengan kekalahan skuad negara kepada Hong Kong, semalam.

``Kita bermain kurang baik pada babak pertama dan hanya bangkit pada babak kedua sesudah ketinggalan. Dua gol yang diperoleh pasukan lawan tidak seharusnya diberikan. Ia kesilapan yang buruk,'' katanya.

Hong Kong memperoleh dua gol mudah akibat kesilapan pertahanan yang memberi laluan skuad itu menebus dendam kekalahan 2-0 mereka pada pusingan pertama di Hong Kong, dua minggu lalu.

``Saya kecewa dengan corak persembahan pemain pada separuh masa pertama. Gol kita hanya hadir pada waktu yang amat lewat ketika kita sudah ketinggalan 2-0.

``Apa yang saya nampak, pemain bagaikan terlalu memikirkan perlawanan terakhir yang menjejaskan tumpuan mereka dalam perlawanan itu. Keputusan ini tidak seharusnya kita terima,'' kata jurulatih dari England itu.

Harris semalam merehatkan ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar yang mengalami kecederaan dan memberikan tugas itu kepada Bobby Pian bergandingan dengan Juzaili Samion di bahagian tengah.

Bagaimanapun, Bobby digantikan Mohd. Shukor Adan pada babak kedua dan tugas ketua pasukan diserahkan kepada Khairil Zainal.

Hairuddin Omar, yang menjaringkan gol tunggal Malaysia dalam perlawanan semalam, bermain di sayap kanan manakala sayap kiri Rosdi Talib.

Skuad negara kurang bermaya pada babak pertama tetapi garang pada babak kedua sesudah Harris membuat dua pertukaran dengan memasukkan Shukor dan Gilbert Cassidy.

Gandingan dua penyerang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Rusdi Suparman beberapa kali berjaya meloloskan diri tetapi penyudah yang kurang berkesan menggagalkan usaha skuad negara. - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0325&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bYjhrCAy
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan