Khamis, 16 Mac 2017

Elak tempat tercorot


 

ARKIB : 25/03/2001
Elak tempat tercorot
PEMAIN negara, Mohamed Shukor (kanan) berusaha melepasi dua pemain Hong Kong sewaktu perlawanan pusingan kedua kelayakan kumpulan Tiga Asia di Doha, semalam. Hong Kong menang 2-1. - Gambar AFP.

Oleh: JOHARI SHAWAL
DOHA, Qatar - Tiada apa yang perlu dilakukan oleh barisan skuad bola sepak negara kecuali mencatat kemenangan ke atas Palestin pada perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia Kumpulan Tiga Asia hari ini, untuk mengelak daripada menghuni tangga tercorot, selepas tewas 2-1 kepada Hong Kong, awal pagi semalam.

Ketika Qatar sudah berpesta meraikan lebih awal kejayaan mereka layak ke pusingan kedua biarpun masih berbaki satu perlawanan, Malaysia masih teraba-raba untuk cuba memperbaiki kedudukannya.

Kejayaan mengikat Qatar 0-0 pada perlawanan pertama Selasa lalu rupanya masih tidak cukup untuk dijadikan pembakar semangat.

Sebaliknya Hong Kong, yang tewas 2-0 kepada skuad negara di gelanggang sendiri pada pusingan pertama, menjadikan Stadium Al-Sadd di sini sebagai medan menebus dendam.

Dan dendam mereka sudah berbalas. Menerusi corak permainan pantas dan keras, Hong Kong membuka jaringan seawal minit ke-15 menerusi satu tendangan sudut yang seharusnya mudah dikawal barisan pertahanan negara.

Ketika Malaysia cuba bangkit mencari gol penyamaan sehingga berlarutan di babak kedua, Hong Kong sekali lagi menggegarkan jaring pasukan negara pada minit ke-78, juga akibat kesilapan pertahanan.

Penjaga gol, Mazlan Wahid tersilap kira ketika keluar untuk menyekat terjahan Keung Hei Chi dalam kotak penalti tetapi bola lebih dulu terkena badan pemain lawan itu sebelum menerjah jaring.

Itulah satu-satunya gerakan berbahaya Hong Kong pada sepanjang babak kedua tetapi mereka rupanya beroleh tuah.

Gol tunggal Malaysia hanya hadir ketika permainan berbaki lima minit. Hairuddin Omar menanduk cantik bola hantaran lintang Zamani Misbah selepas beberapa serangan dilancarkan.

Penyerang Akmal Rizal Ahmad Rakhli, yang menjaringkan kedua-dua gol ke atas Hong Kong pada pusingan pertama, kali ini gagal membuat sumbangan biarpun berusaha keras.

Kini, hanya kemenangan ke atas Palestin sambil mengharapkan Qatar mengatasi Hong Kong, mampu menghindar Malaysia daripada menamatkan kelayakan pada kedudukan terbawah kumpulan.

Namun, pasukan Allan Harris bakal sukar mencapai hajat itu kerana Palestin memiliki semangat lebih kental berbanding Hong Kong. Lihatlah aksi mereka ketika menang 1-0 ke atas pasukan bekas jajahan British itu dan memaksa Qatar berhempas pulas sebelum akhirnya tunduk 2-1, kelmarin.

Harus juga diingat, Malaysia tewas 1-0 kepada Palestin pada pusingan pertama di Hong Kong. Dilihat kepada peningkatan Palestin, mungkin kenyataan itu ada benarnya.

Segalanya kini di tangan pemain. Mereka yang bakal menentukan keputusan dan kedudukan terakhir skuad negara dalam kelayakan ini. Harris dan para pembantunya sudah berusaha dan hanya pemain yang akan memberikan keputusannya. - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0325&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bYi3hPER
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan