Khamis, 16 Mac 2017

Malaysia cipta kemenangan terakhir

ARKIB : 26/03/2001
MALAYSIA 4 PALESTIN 3
Daripada: JOHARI SHAWAL
DOHA, Qatar - Malaysia menamatkan kempen bola sepak kelayakan Piala Dunia 2002 Kumpulan Tiga Asia dengan nota cemerlang selepas mencatat kemenangan 4-3 ke atas Palestin pada perlawanan terakhir pusingan kedua di Stadium Al-Sadd di sini, semalam.

Kejayaan itu sekali gus menebus dendam kekalahan 1-0 skuad negara kepada Palestin pada pusingan pertama di Hong Kong, tiga minggu lalu.

Penyerang Akmal Rizal Ahmad Rakhli menjaringkan dua gol pada minit ke-12 dan 67 manakala satu gol masing-masing dihasilkan Hairuddin Omar (53) dan Irwan Fadli Idrus (58).

Bagaimanapun, Malaysia lebih dulu dikejutkan dengan jaringan pembukaan Palestin seawal minit ketiga oleh penyerang berbahaya, Emad Ayoub El Kair, menewaskan penjaga gol negara, Syamsuri Mustafa.

Terkejut dengan gol itu, Malaysia mengatur semula gerakan dan Akmal menyamakan kedudukan pada minit ke-12.

Ketika Malaysia cuba mempertahankan kedudukan itu, Palestin diberi sepakan penalti selepas pengadil mengesan kekasaran yang dilakukan Juzaili Samion ke atas Jamal Al-Holi dalam kotak penalti dan Al-Holi menyempurnakan sepakan menjadikan kedudukan 2-1.

Kecewa dengan keputusan pengadil, Malaysia bangkit pada babak kedua, tetapi dikejutkan dengan sepakan penalti kedua, tetapi Syamsuri cemerlang menyelamatkan sepakan ketua pasukan Palestin, Saed Jendeya pada minit ke-52 untuk kedudukan kekal 2-1.

Aksi hebat Syamsuri dibalas dengan gol penyamaan skuad negara seminit kemudian menerusi satu gerakan balas pantas dari sebelah kanan. Shukor melintangkan bola ke tengah kepada Hairuddin yang kemudian mencipta ruang buat Juzaili membuat rembatan tetapi terkena benteng Palestin.

Bola kembali kepada Hairuddin dan penyerang itu mengambil sedikit masa di penjuru kotak penalti sebelum melepaskan tendangan kencang ke penjuru kiri gawang Palestin.

Malaysia tambah yakin untuk melebarkan jaringan dan pada minit ke-58, Akmal dijatuhkan di luar kotak penalti. Irwan Fadli ke depan mengambil sepakan dan lencongan bola cantik ke sebelah kiri menggegarkan gawang Palestin untuk Malaysia di depan dengan 3-2.

Akmal meletakkan Malaysia lebih selesa di depan dengan gol keempat setelah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-67 selepas Hairuddin dijatuhkan oleh Ziyad Alkord.

Kerja Malaysia menjadi agak mudah apabila penyerang dan penjaring gol pertama Palestin, Emad Ayoub dibuang padang setelah dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari Ahmad Shahrul.

Namun, meskipun bermain sepuluh orang, Palestin berjaya merapatkan jurang pada minit terakhir perlawanan menerusi rembatan kencang Mohammed Aljeesh sebelum Malaysia menguasai semula permainan dalam waktu kecederaan sehingga wisel penamat dibunyikan.

PALESTIN: Ramzi Saleh, Saeb Jendeya, Hamada Eshbair, Osama Abualia, Khaldun Alwaara, Mohammed Hasanan, Mohammed Aiswarki (Ziyad Alkord), Jamal Al-Holi, Abdalraouf Hajjaj, Fady Abulatifa (Mohammed Aljeesh), Emad Ayoub El Kair.

MALAYSIA: Syamsuri Mustaffa, B. Rajinikandh, Khairil Zainal, Norhafiz Zamani Misbah (Bahtiar Othman), Irwan Fadli Idrus, Juzaili Samion, Shukor Adan, Chow Chee Weng, Ahmad Shahrul Azhar, Hairuddin Omar, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0326&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bYsxZFNZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan