Jumaat, 17 Mac 2017

FAM sedang menilai prestasi Harris



 
ARKIB : 27/03/2001
 Allan Harris.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang menilai prestasi jurulatih skuad kebangsaan, Allan Harris dan masa depan jurulatih itu hanya akan ditentukan selepas Sukan SEA XXI di Kuala Lumpur, September ini.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, pada masa ini Allan masih lagi melatih skuad Sukan SEA.

``Allan akan bertanggungjawab untuk program latihan skuad kebangsaan menjelang temasya dwi tahunan itu kelak,''

``Selepas itu FAM akan mengkaji semula kedudukannya sebagai jurulatih skuad kebangsaan,'' kata Tengku Abdullah di Petaling Jaya semalam.

Tengku Abdullah berkata, kontrak Allan mungkin akan dilanjutkan jika dia melakukan tugas yang baik.

Tambah beliau, FAM mempunyai sasaran yang tinggi pada Sukan SEA dengan sekurang-kurangnya berada di tempat kedua. FAM berharap Allan akan mencari formula yang sesuai untuk merealisasikan harapan itu.

Allan mengambilalih tugas selaku jurulatih kebangsaan daripada Abdul Rahman Ibrahim yang menamatkan kontraknya dan kini melatih pasukan Selangor.

Sementara itu, FAM akan menghantar enam hingga 10 pemain muda untuk mengikuti program latihan sambil bermain di beberapa kelab bola sepak luar negara.

``Ini merupakan program jangka panjang FAM dan mungkin antara enam atau 10 pemain akan dihantar ke luar negara,'' katanya.

Setakat ini, negara yang dikenalpasti untuk menempatkan pemain-pemain berkenaan ialah di Switzerland dan sebuah lagi negara masih belum diputuskan.

Buat masa ini, empat pemain muda negara telah dihantar ke luar negara iaitu di Jerman dan Perancis.

Mereka ialah Akhmal Rizal Ahmad Rakhli dan Juzaili Samion yang bermain untuk kelab Perancis, FC Strasbourg serta Rudie Ramli dan Mohd. Fadzli Shaari yang beraksi untuk kelab divisyen tiga Jerman, SV Wehen.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bYzO1c44
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan